KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) untuk bersama-sama menggembleng usaha ke arah meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.
MoU tersebut adalah melibatkan 56 bidang kerjasama seperti:
- Pertukaran staf antara fakulti
- Penerimaan pelajar-pelajar ijazah dan lepasan ijazah dari kedua-dua institusi untuk suatu tempoh pengajian atau penyelidikan
- Mengadakan simposium, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat berkenaan isu-isu penyelidikan
- Pertukaran maklumat berkenaan perkembangan di dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi, perundingan, pembangunan staf dan pelajar
- Menyiarkan maklumat dan aktiviti yang dijalankan oleh kedua-dua institusi di dalam laman sesawang masing-masing dan
- Kerjasama dalam penyelidikan dan apa-apa bidang lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari semasa ke semasa.
Pada majlis itu UTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar manakala UiTM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim.
MoU ini akan menggalakkan kerjasama domestik dan antarabangsa di dalam bidang akademik untuk menguatkan, menggalakkan dan membangunkan bidang akademik, kebudayaan dan penyelidikan atas dasar keuntungan bersama dan saksama.
MoU ini akan berkuat kuasa selama lima (5) tahun dan tempohnya boleh dilanjutkan untuk satu tempoh yang dipersetujui secara bertulis oleh kedua-dua pihak.
Pemeteraian MoU ini bertitik tolak dari lawatan Penolong Naib Canselor Strategik UiTM, Prof Ir Haji Abdul Rahman Omar ke UTM dan mengadakan pebincangan bersama Pro-Naib Canselor (Strategik) UTM, Prof. Dr. Shahrin bin Mohamad bagi tujuan kerjasama antara kedua-dua institusi tersebut.
Rentetan daripada perbincangan tersebut, dirumuskan terdapat 56 projek kerjasama yang telah dan sedang dijalankan antara UTM dengan UiTM yang membawa kepada perlunya pemeteraian MoU.
Antara projek berimpak tinggi adalah seperti kajian penyelidikan tentang membrane, aeronautik, kelestarian komuniti solar, termodinamik serta kejuruteraan marin.
Menurut Datuk Wahid, kerjasama yang dijalin antara UTM dan UiTM ini adalah satu langkah positif dan selari dengan enam Bidang Tumpuan Utama UTM dalam Pelan Global UTM 2012-2020: Fasa III iaitu Kecemerlangan Penyelidikan, Jaringan Industri & Komuniti dan Transformasi Bakat, Governan dan Penyampaian Berprestasi Tinggi.
Menurut Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim, kerjasama antara UTM dan UiTM ini telah terjalin sejak 1996 lagi melalui penerbitan oleh penyelidik daripada kedua-dua universiti tersebut.
“Jika dilihat kepada data berindeks yang dihasilkan secara bersama dari tempoh 2016 sehingga 30 Jun 2019, sebanyak 459 penerbitan telah berjaya dihasilkan oleh penyelidik UTM dan UiTM, namun belum ada MoU yang ditandatangani dan hari ini kedua-dua pihak mengambil inisiatif tersebut bagi memeterai secara rasmi.
Dari segi pembangunan modal insan, UTM sememangnya menjadi antara pilhan utama pensyarah akademik UiTM dalam melanjutkan pengajian di peringkat siswazah. Sejak tahun 1999 sehingga 31 Julai 2019, seramai 121 orang pensyarah UiTM telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dan 23 orang lagi di peringkat sarjana (masters).
Semoga dengan kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia,” tambah beliau.