April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Ogos — Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKMKTHO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital (MaGICX) UTM telah menganjurkan program UTM Cyber Games 2019.

Program yang berlangsung di pejabat MaGICX UTM Johor Bahru itu dianjurkan dengan matlamat utamanya ingin memartabatkan permainan video berkomputer (computer games) supaya dipandang sebagai satu aktiviti yang sihat.

Penolong Pengarah Program, Kamal Azmil Khairil Azmi berkata pihaknya mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini disebabkan tanggapan negatif sesetengah pihak yang menganggap permainan ini dikaitkan dengan elemen negatif.

“Kami mengambil inisiatif menganjurkan program ini disebabkan ingin memperbetulkan tanggapan negatif masyarakat mengenai permainan video berkomputer ini yang sering dikaitkan dengan gejala negatif seperti membuang masa dan melepak.

“Tanggapan ini seharusnya tidak timbul memandangkan permainan video ini juga mampu untuk mengelakkan sebarang perilaku buruk golongan belia dan juga mampu untuk mencipta semangat persahabatan sebenar berbanding ‘berkawan’ melalui laman sosial yang ‘kurang sihat’,” katanya lagi.

Menurut Kamal Azmil lagi, program ini juga dianjurkan bagi menyahut bacaran Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahukan permainan atas talian (online games) ini dibangunkan kearah yang lebih positif.

Beliau telah ditemui selepas menghadiri acara penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengarah MaGICX UTM, Prof. Madya Dr. Mohd. Yazid Idris. Program ini telah mendapat penyertaan seramai 304 orang yang terdiri dari orang perseorangan dan juga mahasiswa universiti awam dan swasta dari seluruh negara.

“Bagi menjadikan program UTM Cybergames 2019 ini menjadi lebih rancak, kami telah membahagikannya kepada dua kategori penyertaan iaitu permainan individu dan juga secara berkumpulan.

“Permainan yang dipertandingkan pula dibahagikan kepada tiga kategori iaitu The Fédération Internationale de Football Association (FIFA), Professional Evolution Soccer (PES) dan juga Mobile Legend,”katanya.

Kategori Mobile Lagend (Berkumpulan) telah dimenangi oleh kumpulan ESG Gaming (tempat pertama) ,syarikat pembekal komputer ESG Gaming Sdn. Bhd. yang berpengkalan di negeri Melaka manakala ketegori PES tempat pertama pula dimenangi oleh Mohamad Norhaikal Mohamad Noh dari Johor.

Bagi kategori FIFA pula telah dimenangi oleh Izlan Hadi Amran yang juga berasal dari negeri Johor. Pemenang tempat pertama kategori Mobile Legend membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200.00 diikuti RM900.00 bagi tempat pertama kategori PES diikuti oleh jumlah yang sama bagi kategori FIFA bagi tempat pertama.

Dr. Yazid (dua kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada juara kategori Mobile Legend iaitu kumpulan ESG Gaming Sdn. Bhd dari negeri Melaka.

Explore More