April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 20 Jun — Konkrit tahan lasak (SEER-GreenCon) yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari serbuk getah dan abu terbang yang terhasil melalui pembakaran arang batu telah terpilih sebagai salah satu idea terbaik dalam pertandingan Beyond Bauhaus-Prototyping yang berlangsung di Jerman baru-baru ini.

Konkrit yang dihasilkan dari bahan terbuang tersebut telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA), Fakulti Kejuruteraan UTM yang diketuai oleh Ts. Dr. Mariyana Aida Ab.Kadir dan dianggotai oleh Ir. Dr. Siti Asmah Hassan, Muhammad Najmi Mohamad Ali Mastor dan Nurizaty Zuhan (pelajar ijazah Doktor Falsafah) di SKA.

Menurut Dr. Mariyana, selepas melalui saringan dengan hampir 1500 penyertaan dari 50 buah negara, juri professional telah memilih SEER-GreenCon sebagai satu daripada 20 idea terbaik dalam pertandingan itu serta akan ditaja untuk menerima hadiah kemenangan di Berlin.

“SEER-GreenCon merupakan kajian berkenaan dengan penggunaan serbuk getah yang diproses daripada tayar terpakai dan abu terbang yang merupakan sisa pembakaran arang batu dari stesen janakuasa bagi menggantikan sebahagian pasir dan simen dalam konkrit konvensional.

“Inovasi penggunaan bahan-bahan berasaskan sisa buangan tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi dan masalah pelupusan sisa tayar dan abu terbang, malah dapat menghasilkan konkrit dengan ciri-ciri kekuatan tambahan dan berpotensi di gunakan sebagai struktur tahan gempa di kawasan berisiko gempa dengan skala sederhana.” katanya lagi.

SEERGreenCon telah memberikan sumbangan idea yang menarik terhadap permasalahan sosial yang ditekankan dan telah menarik perhatian pihak penganjur.

Menurut Dr. Mariyana, kemenangan dalam pertandingan Beyond Bauhaus-Prototyping The Future, secara khususnya, Sekolah Kejuruteraan Awam dan Universiti Teknologi Malaysia secara amnya telah membuktikan bahawa UTM merupakan institusi pengajian bertaraf antarabangsa dan setaraf dengan institusi pengajian bertaraf dunia yang lain.

Hal ini telah menunjukkan bahawa kajian-kajian yang dijalankan di UTM bukan sahaja tertumpu kepada kajian berasaskan tempatan, malah mengambil kira skop kajian pada peringkat antarabangsa.

Selain itu, kemenangan ini telah mengharumkan nama dan mempromosikan UTM di persada dunia lantas menarik perhatian antarabangsa kepada universiti ini.

Butiran lanjut boleh didapati di laman web : https://land-der-ideen.de/en/competitions/beyond-bauhaus/award-winners/seer-greencon

https://www.youtube.com/watch?v=d4rgB3uN4VU

 

Explore More