November 17, 2024

Search
Close this search box.

Program Transformasi Minda Platform Terbaik Pupuk DNA UTM

Edisi 2019 yang menampilkan tema kenegeraan tersebut menyaksikan Rosydy Yazid dan Dr. Nina Diana Nawi dinobat sebagai Peserta Terbaik Lelaki dan Wanita

Kumpulan WAJA yang merangkul Juara Keseluruhan PTM 2019

JOHOR BAHRU, 12 Ogos — Program Transformasi Minda (PTM) Siri 1/2019 yang berlangsung selama lima hari bermula dari 4 sehingga 8 Ogos 2019 menampilkan tema kenegaraan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2019.

Kursus Program Transformasi Minda (PTM) merupakan salah satu syarat untuk pengesahan jawatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

PTM Siri 1/2019 kali ini dihadiri oleh 100 orang peserta, termasuk dari kalangan 51 PPP dan 49 Staf Akademik. Kursus kali ini juga menyaksikan jumlah peserta wanita lebih ramai berbanding lelaki iaitu 53 wanita dan 47 lelaki.

Perasmian Program Transformasi Minda 2019 telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar pada 4 Ogos 2019 di Pusat Transformasi Bakat (UTM TTC) yang turut dihadiri oleh Pendaftar, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Naib Canselor dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memantapkan ‘jiwa’ UTM dalam kalangan peserta dan seterusnya bersedia memberikan segalanya untuk UTM.

Menurut beliau setiap staf yang diterapkan nilai dan amalan murni di UTM iaitu DNAUTM ini akan membantu dalam memperkasakan universiti untuk menjadi yang terbaik.

Beliau turut mengingatkan betapa beratnya cabaran berada di sini dan DNA UTM yang utuh di hati setiap peserta bakal menjadi elemen penting untuk memacu staf dalam mengharungi cabaran pada masa akan datang agar sentiasa seiring dan dapat menyokong dasar dan kehendak universiti.

“Kita perlu menjadi yang terbaik agar kita mampu memberi yang terbaik.

Heart count lebih penting berbanding head count,” kata beliau.

Pasukan Fasilitator PTM 2019 yang diketuai oleh Timbalan Pendaftar dari Jabatan Pendaftar UTM, Puan Noerwati Dolhaji (berdiri, dua dari kiri)

Ketua Fasilitator PTM Siri 2019/2020, Noerwati Dolhaji berkata tema kemerdekaan dimuatkan dalam hampir kesemua aktiviti sepanjang kursus bagi meraikan bulan kemerdekaan yang dilancarkan oleh Naib Canselor UTM pada 6 Ogos 2019.

Antara aktiviti terlibat ialah Sahabat Saya, Serigala & Biri-biri, Benda Boleh Lukis Watpe Nak Sebut, Lepaskan Daku, A Shoulder to Krayon dan Telefon Karat.

Salah satu acara paling menarik iaitu sesi team bonding, para peserta diberi cabaran untuk mengenalpasti bangunan-bangunan di UTM dan beberapa fungsi Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan juga diterapkan dengan nilai kelestarian.

Hasil kerja dan kreativiti dari setiap aktiviti yang dijalankan tersebut dipamerkan di tempat khas oleh setiap kumpulan.

“Selain tema kemerdekaan PTM kali ini juga menampilkan beberapa pembaharuan seperti nyanyian lagu Gemuruh Jiwa dengan aksi tarian yang menceriakan bersama-sama di permulaan sesi malam dan juga sesi team bonding pada hari pertama,” tambah beliau lagi.

Image may contain: 5 people, people sitting, table, outdoor and food
Antara aktiviti semasa sesi Team Bonding

Image may contain: 1 person, sitting

Image may contain: 10 people, people smiling, people standing and outdoor

Antara karya peserta dalam PTM 2019

Bagi Rosydy Yazid yang terpilih sebagai Peserta Terbaik Lelaki, kursus Program Tranformasi Minda sepanjang lima hari  ini dapat menyalurkan banyak ilmu baharu dari pelbagai aspek tidak kira falsafah dan prinsip halatuju UTM, peraturan asas sebagai penjawat awam serta pembentukan jati diri serta sifat integrasi yg perlu ada dalam menghadapi cabaran dan tuntutan pemegang taruh.

“Saya amat bersetuju program PTM  ini terus dijalankan dalam cara dan konteks yg sama,” katanya lagi.

Peserta Terbaik Lelaki, Rosydy Yazid

Peserta Terbaik Wanita, Dr. Nina Diana Nawi pula berpendapat tema kenegaraan menjadikan kursus ini lebih istimewa.

Beliau secara peribadi sangat terkesan dengan bicara Prof Madya Dr. Kassim Thukiman iaitu ‘orang kita hanya lebih menghargai sejarah pada bulan Ogos’ yang berjaya membawa peserta menyelusuri sejarah Malaysia secara 4 dimensi.

“Kami seolah-olah berada pada ketika bumi Malaysia mencapai kemerdekaan, emosi yang tidak tergambar dengan kata-kata, dan barulah kami tahu, UTM turut berada dalam catatan sejarah bagi bumi bertuah ini mencapai kemerdekaan. Nama Tan Sri Ainuddin Wahid tercatat dalam lipatan sejarah.

Tertanam rasa lebih cinta pada tanah Malaysia, apatah lagi UTM,” tambah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan itu.

Peserta Terbaik Wanita, Dr. Nina Diana Nawi

Seorang lagi peserta yang menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang kursus, Nor Hidayati Mokhtar berkata PTM bukan sekadar ilmu yang ditimba malah ukhuwah yang dijalin melalui aktiviti yang secara saban hari berkumpul untuk belajar dan melakukan aktiviti secara bersama.

“Sinergi antara kami terjalin antara semua peringkat pentadbiran, baik dari kalangan fasi yang mesra, rakan dari unit keselamatan, pemandu, CoE, Fakulti dan PTJ.

Pasukan Pahlawan Ogos mengabadikan kenangan selepas majlis penutup

Pasukan Pahlawan Ogos yang menjuarai persembahan di malam terakhir PTM pula berjaya mencuri tumpuan melalui karya lucu mereka yang sarat dengan mesej bertemakan ‘UTM Financial Sustainability’.

Petikan dari filem Tamil yang dialihsuara ala ‘madlipz’ oleh semua anggota pasukan itu diadaptasikan dengan senario semasa di universiti ini yang menjadikan penjanaan kewangan sebagai salah satu agenda utama.

Teraju utama Pahlawan Ogos, Dr. Mohd Firdaus Akmal Azman berkata antara sumber idea adaptasi terlibat sebenarnya diperolehi dari pengisian ceramah di dalam kursus.

“Gaya bersahaja dan bakat terpendam semua anggota pasukan ini yang sebenarnya berjaya menghangatkan persembahan” ujar doktor perubatan Pusat Kesihatan UTM itu lagi.

Karya kreatif tersebut juga dipersembahkan sekali lagi di majlis penutup pada 8 Ogos 2019 yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Explore More