JOHOR BAHRU, 3 Ogos — Mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang ketenteraan, ketahanan mental dan fizikal serta tahan lasak menjadi ramuan utama kejayaan bagi tiga orang pegawai kadet Pasukan Latihan Pasukan Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) untuk tamat latihan serta dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik.
Selain minat yang mendalam, faktor pembahagian masa juga menjadi faktor penentu yang kritikal bagi membolehkan seseorang pelatih PALAPES itu menjalani latihan tanpa mengorbankan tanggungjawap hakiki mereka sebagai pelajar universiti.
Lt. Muda Pang Meei Wei dari Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSSTLDM) berkata perkara ini tidak menjadi mustahil kerana beliau sememangnya mempunyai minat yang mendalam terhadap TLDM.
“Selain mempunyai minat yang mendalam, saya juga perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan juga latihan.
“Selalunya kami menjalani latihan hanya berberapa kali dalam sebulan dan bagi mengelakkan sebarang masalah yang timbul, saya telah menyiapkan semua tugasan yang diberikan pensyarah sebelum memulakan latihan,” katanya.
Meei Wei juga mengambil sikap tidak bertangguh dalam mengulangkaji pelajaran dan sering bertanya rakan-rakan sekuliah sekiranya tidak dapat hadir ke sesi kuliah disebabkan oleh masalah kesihatan.
Mahasiswa jurusan Sains Perhutanan tahun tiga Universiti Putra Malaysia (UPM) ini juga menasihatkan supaya kaum bukan Melayu juga turut menyertai pasukan PALAPES ini bagi memupuk semangat patriotisme.
Lt. Muda Campbell Isaac Lenjau Tabib dari Pasukan Simpanan Tentera Udara DiRaja Malaysia (PSTUDM) berkata beliau amat bangga terpilih menjadi kadet terbaik tanpa mengorbankan masa depannya sebagai pelajar.
“Pengajian saya di Universiti Malaysia Sabah juga tidak pernah terjejas walaupun dalam kesibukan menyertai PALAPES ini malah saya menjadi semakin fokus kerana inilah minat saya.
“Dunia ketenteraan bukanlah asing bagi saya kerana telah pun mendapat pendedahan mengenai latihan lasak ini sejak di peringkat sekolah menengah lagi,” ujar bekas pelajar Maktab Tentera DiRaja (MTD) ini lagi.
Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik (Komputer) ini juga mengingatkan semua pelatih- pelatih PALAPES UA supaya teruskan perjuangan dalam pasukan itu hingga ke garisan penamat.
“Ini kerana dalam pasukan ini anda akan dapat peluang untuk mempelajari pelbagai ilmu kemahiran yang tidak pernah diajar di luar bilik kuliah seperti kempimpinan, disiplin dan juga semangat setiakawan dalam apa keadaan sekalipun.
“Jika anda lihat semula, inilah perkara-perkara yang membantu anda untuk menjadi lebih berkeyakinan dan seterusnya menjadi lebih berjaya dalam pelajaran masing-masing,” katanya.
Bagi Lt. Muda Mohd. Hamizan Haisa pula berkata menyertai PALAPES memberinya dimensi baru dalam memupuk minat menceburkan diri dalam bidang ketenteraan.
“Di samping memupuk minat dalam bidang yang sebelum ini tidak saya ketahui apa dia, menyertai pasukan ini juga membolahkan saya memperolehi sesuatu pengalaman dan pengetahuan yang tidak pernah orang lain dapat.
“Paling penting yang dapat saya perolehi adalah semangat cintakan negara yang semakin dalam dan juga semangat juang yang tinggi yang dapat diaplikasikan dalam mendepani cabaran hidup yang semakin kompleks ini,” katanya.
Seramai 1,560 orang pegawai kadet terdiri daripada 881 orang Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 330 orang Pegawai Kadet Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan 349 orang Pegawai Kadet Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah berjaya ditauliahkan dalam majlis Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-38.
Majlis pentauliahan telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang telah berkenan mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Pentauliahan DiRaja yang berlangsung di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam.
Baginda turut menyempurnakan penyerahan Pedang Kehormat kepada 34 orang Pegawai Kadet Terbaik dari semua Universiti Awam yang menyertai perbarisan berkenaan.
DYAM TMJ juga turut berkenan mengurniakan watikan tauliah yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar kepada para semua Pegawai Kadet yang berjaya ditauliahkan diikuti dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira, penyerahan skrol ikrar kepada baginda dan diakhiri dengan penyampaian Perisai Panglima Tentera Darat bagi mengiktiraf detasmen terbaik perbarisan.