April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 Ogos — Penganjuran Hari Keluarga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2019 yang berbentuk program kekeluargaan dapat memupuk perasaan kebersamaan antara staf dan keluarga di samping dapat mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lainnya.

Program tersebut yang bersempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-63 tersebut mampu menyemarakkan rasa kecintaan staf kepada negara, keluarga dan bangsa.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata program ini merupakan salah satu inisiatif universiti itu dalam membina ekosistem yang harmoni dan produktif serta memperkasakan sikap menyayangi, prihatin dan bersama kearah kecemerlangan.

“Dalam membina kehidupan secara holistik, keluarga merupakan salah satu elemen yang penting selain daripada kerjaya dan tanggungjawap komuniti.

Saya juga yakin menerusi penglibatan seluruh peserta pada hari ini dalam pelbagai acara yang akan dilangsungkan dapat memupuk semangat kerjasama antara staf berlainan Pusat Tanggungjawap (PTJ) walaupun mungkin terdapat staf yang sebelum ini tidak pernah bekerjasama secara formal dalam melaksanakan tugasan harian mereka,” katanya.

Beliau berucap demikian sewaktu memberikan ucapan aluan pada majlis pembukaan rasmi Hari Keluarga UTM 2019 yang berlangsung di Stadium UTM pada pagi itu.

Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Tan Sri Abdul Halim Ali dan Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Menurut Prof. Wahid lagi, program sebegini juga membolehkan staf saling mengenali antara satu sama lain sekaligus akan memudahkan dan melancarkan segala urusan pekerjaan antara satu sama lain.

“Ini secara tidak langsung meningkatkan sinergi antara PTJ dan melancarkan ekosistem penyampaian yang merupakan salah satu nilai teras UTM dalam memperkasa setiap warganya,” katanya lagi.

Prof. Wahid juga berharap agar program-program bersama keluarga seperti ini dapat diteruskan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan masyarakat penyayang dan seterusnya menyokong kepada kemakmuran negara.

Sebanyak 11 acara pelbagai kategori telah disediakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Keluarga UTM 2019 ini yang antaranya adalah Jangan Pandang Belakang (kategori Lelaki dan Wanita), Chopstick Challenge (Lelaki dan Wanita), Outbound Challenge, Wanita Teknologi, Lari Kong-Kong, Happy Golfing, Mary Go Round, 6×50 (Relay), Balingan Manja dan Mewarna (Kategori 5-9 tahun dan juga 9-12 tahun).

Program telah dirasmikan oleh Tan Sri Abdul Halim Ali di Stadium UTM.

Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar menyertai pertandingan ‘Chopstick Challenge’ di Hari Keluarga UTM 2019.
Anak staf UTM yang menyertai pertandingan mewarna di Hari Keluarga UTM 2019
Pengerusi LPUUTM, Tan Sri Abdul Halim Ali menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang cabutan bertuah.
Pemenang hadiah utama kategori cabutan bertuah, Prof. Dr. Roslan Amirudin yang memenangi hadiah motosikal di Hari Keluarga UTM 2019

Explore More