April 24, 2024

Search
Close this search box.

Fakulti Sains Menjuarai Anugerah Kualiti Akademik (AKA) UTM Sempena Majlis Citra Karisma 2019

Majlis Citra Karisma Universiti Teknologi Malaysia bagi tahun 2019 menyaksikan Fakulti Sains telah diumumkan sebagai juara Anugerah Kualiti Akademik UTM. Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen berterusan Fakulti Sains dalam membangunkan sumber bakat dan teknologi melalui inisiatif melibatkan pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan dan perkhidmatan berteraskan kualiti yang unggul.

Menurut Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff selaku Dekan Fakulti Sains, proses sinergi yang dilaksanakan oleh Universiti turut menyumbang kepada peningkatan kualiti fakulti menerusi gabungan kekuatan dalam rumpun bidang sains fizikal dan sains hayat, termasuk peluang menawarkan program akademik merentas bidang mengikut keperluan abad ke-21.

“Fakulti akan terus mengutamakan agenda pembangunan program akademik yang berkualiti dalam sains dan matematik bagi memenuhi keperluan pendidikan tempatan dan global, pemerkasaan pembelajaran dan pengajaran yang inovatif dan efektif serta kemenjadian graduan yang kompeten dan holistik,” jelasnya lagi.

Ahli Fakulti Sains bergambar bersama piala dan hadiah kemenangan Anugerah Kualiti Akademik UTM

Fakulti Sains telah menggariskan 10 objektif kualiti beserta 5 strategi kualiti dan 9 piagam pelanggan sebagai tanda aras prestasi kualiti Fakulti. Malah, perkongsian amalan terbaik juga dilaksanakan terutamanya dalam membina kompetensi pensyarah fakulti yang tersedia masa hadapan. Bagi meluaskan akses pendidikan tinggi yang berkualiti sepertimana Matlamat Pembangunan Lestari, fakulti turut menawarkan program akademik berbentuk pendidikan berterusan dan transnasional serta merintis kaedah pembelajaran secara MOOC.

Selain itu, kekuatan Fakulti Sains juga terserlah menerusi program pembangunan pelajar yang berstruktur, MyRoadmap yang menjadi model terbaik di peringkat universiti tempatan dan luar negara. Selanjutnya, inisiatif sinergi program MyRoadmap bersama pelbagai pusat tanggungjawab universiti turut dilaksanakan bagi mentransformasikan pengalaman pelajar di universiti secara bersepadu.

Sesi bergambar ahli Fakulti Sains selepas selesai pembentangan projek MyRoadmap sebagai amalan terbaik untuk Anugerah Kualiti Akademik

Menyedari bahawa teras kualiti merupakan agenda yang berterusan, Fakulti Sains akan terus memperkasakan amalan terbaik melibatkan pengurusan sumber manusia, penggunaan sistem maya bagi tujuan pengurusan kualiti yang bersistematik dan pembudayaan ekosistem kualiti. Semua inisitiaf yang dilaksanakan diharapkan dapat melonjakkan lagi kecemerlangan Fakulti Sains, bagi memenuhi visi menjadi fakulti yang terkemuka dalam memacu kemajuan sains dan matematik untuk matlamat kesejahteraan sejagat.

Tahniah Fakulti Sains!

 

Disediakan oleh:

Dr. Mohd Bakri Bakar

Prof. Madya Dr. Normah Maan

Explore More