April 26, 2024

Search
Close this search box.

Sempena persidangan International Conference and Workshops on Basic and Applied Sciences 2019 (ICOWOBAS 2019) yang berlangsung di Hotel KSL Resorts Johor Bahru, satu pameran dan promosi berkenaan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG) telah berjaya dilaksanakan.

Aktiviti ini merupakan inisiatif Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia selaku penganjur utama ICOWOBAS 2019 bagi meningkatkan kesedaran berkenaan aspirasi penyelidikan saintifik yang menyumbang kepada kelestarian global.

Matlamat Pembangunan Lestari SDG merupakan satu gagasan sejagat di bawah seliaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mempunyai 17 matlamat utama. SDG bertujuan menggemblengkan kekuatan global bagi melestarikan bumi serta memastikan penduduk sedunia menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera.

Majlis penyampaian cederamata ICOWOBAS 2019 yang berlatarbelakang informasi SDG kepada YB Dr. Sulaiman Mohd Nor (ADUN Kemelah) selaku perasmi program

Menurut PM Dr. Zaiton Abdul Majid yang merupakan Pengerusi ICOWOBAS 2019, delegasi ICOWOBAS dikehendaki memetakan penyelidikan sains masing-masing kepada matlamat SDG yang berkaitan. “Fokus utama turut diberikan kepada saintis dan penyelidik muda bagi membolehkan mereka dapat menjajarkan penyelidikan masa depan yang selari dengan mana-mana matlamat SDG,” ujarnya lagi.

Bagi mencapai matlamat SDG juga, kerjasama saintifik di peringkat antarabangsa perlu diperkukuhkan sepertimana melalui platform ICOWOBAS. Dengan itu, perkongsian pengetahuan dan kepakaran dapat dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah global yang dikongsi bersama.

ICOWOBAS 2019 merupakan salah satu aktiviti satelit sempena Minggu Sains Negara peringkat negeri Johor, yang bertemakan Sains untuk Kesejahteraan. Justeru, aktiviti ini juga dapat memperlihatkan sumbangan penting sains dalam merealisasikan 17 matlamat SDG yang turut berteraskan kesejahteraan.

Saintis muda UTM menunjukkan aktiviti penyelidikan mereka yang berkaitan dengan Matlamat SDG tenaga boleh diperbaharui.

Secara keseluruhannya, didapati delegasi dan peserta ICOWOBAS 2019 menfokuskan penyelidikan mereka dalam bidang kesihatan, tenaga boleh diperbaharui, sumber air, perubahan iklim serta kelestarian komuniti dan bandar. Selepas berakhirnya ICOWOBAS 2019, pameran dan promosi SDG tersebut diteruskan bertempat di Fakulti Sains UTM yang selari dengan sambutan Minggu Sains Negara.

Disediakan oleh: Dr. Mohd Bakri Bakar & Dr. Suhaila M Buhari

Explore More