KENYATAAN RASMI PENJELASAN KENAIKAN YURAN PERKHIDMATAN BAGI PELAJAR KEMASUKAN FEBRUARI 2020 BAHARU

JOHOR BAHRU, 19 JULAI –– Kenaikan yuran perkhidmatan ini hanya berkuatkuasa kepada pelajar baharu yang bakal mendaftar pada bulan Februari 2020 (Semester 2, 2019/2020). Pelajar kanan atau pelajar yang mendaftar pada semester sebelumnya tidak terkesan dengan perubahan ini.

Kenaikan yuran perkhidmatan ini adalah berdasarkan kajian penanda aras antara universiti tempatan, kos pelaksanaan semasa serta peningkatan kos perkhidmatan yang menuntut universiti memperuntukkan kira-kira RM50 juta setahun.

Untuk makluman, universiti tidak pernah menaikkan yuran aktiviti pelajar dan yuran klinik mahasiswa sejak lebih daripada 20 tahun lepas, iaitu dari tahun 1995. Yuran kemudahan sukan juga tidak pernah dikenakan kepada pelajar.

Universiti sentiasa berusaha memastikan pelajar dapat mengikuti pengajian dan juga aktiviti di kampus dengan sebaiknya. Untuk tujuan itu, universiti akan meneruskan amalan perbelanjaan berhemah, dan melaksanakan sebarang keputusan dengan memberi keutamaan kepada kebajikan serta keselesaan pelajar dan staf.

Pejabat Hal Ehwal Korporat
Universiti Teknologi Malaysia
19 Julai 2019