April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Jun  -– Sejenis alat penapis air berbentuk penyedut minuman telah berjaya dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (SKT), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Alat penapis air mudah alih yang dinamakan Bauxshraw ini telah dihasilkan dari Bauksit dan Sekam Padi ini telah dibangunkan oleh sembilan orang penyelidik serta pakar dalam kejuruteraan polimer yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Hafiz Dzarfan Othman.

Bercakap dalam sesi wawancara yang dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM di pejabatnya yang bertempat di Pusat Penyelidikan Membran Termaju (AMTEC), Dr. Mohd Hafiz berkata matlamat utama beliau dan rakan-rakan penyelidiknya membangunkan alat ini adalah bagi mewujudkan penuras yang mampu milik serta bersifat ringkas.

“Keperluan manusia terhadap sumber air yang bersih tidak dapat disangkal lagi dan kepincangan ini menjadi suatu perkara yang amat penting tanpa mengira masa sama ada sedang melancong mahupun ketika menghadapi bencana alam dan juga kegunaan harian.

Namun begitu, status sumber air bersih kini semakin membimbangkan kerana telah dicemari oleh bakteria dan bahan pencemar alam.

Justeru, penggunaan membran dalam usaha merawat air tercemar ini merupakan suatu jalan penyelesaian yang inovatif terhadap masalah ini,” katanya.

Menurutnya lagi, inovasi unik ini juga berkemampuan untuk ‘menolak’ mikroorganisma pencemar air seperti bakteria, protozoa, sedimen, virus dan koloid kecil serta berkemampuan untuk menyerap logam berat seperti timbal, zink dan nikel dengan kepekatan rendah pada kadar 99.9 peratus.

Mengulas lanjut mengenai ciptaan unik ini, Dr. Mohd. Hafiz berkata BauxSRhaw merupakan sejenis penapis air mampu milik yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja yang menggunakan teknologi termaju, diperbuat daripada bahan seramik sekam padi dan bahan fotokatalisis bauksit yang dihasilkan menggunakan kaedah penyongsangan fasa.

“Ciptaan inovatif yang luar biasa ini dijangka berharga rendah di antara RM50-RM100 disebabkan penggunaan bahan seramik dari sisa buangan yang murah.

Di samping keupayaan untuk menahan keadaan yang ekstrem seperti suhu tinggi dan bahan kimia, membran gentian bergeronggang ini mempunyai jangka hayat melebihi 8 tahun.

Dengan slogan “hijau, hibrid dan teknologi mudah alih untuk penapis air minum” disesuaikan dengan konsep “sisa buangan kepada hasil kekayaan”, penemuan ini menggunakan sumber semula jadi yang digunakan untuk produk yang lebih baik dari segi persekitaran,”katanya.

Ciptaan ini telah menerima beberapa pengiktirafan tempatan dan antarabangsa.

Antara anugerah yang dimenangi termasuk Geran Penyelidikan Yayasan Air dan Alam Sekitar KURITA, International Grant Nippon Sheet Glass Foundation for Materials Science and Engineering serta Fellowship Program Penyelidikan Jangka Pendek di Jepun (SRJP) di bawah ASEAN University Network / Kejuruteraan Asia Tenggara Rangkaian Pembangunan Pendidikan (AUN-SEED) dan Pingat Gangsa dalam INATEX 2018.

Dr. Mohd. Hafiz Dzarfan (duduk paling kiri) bersama ahli kumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, UTM menunjukkan alat penapis air ‘Bauxshraw’ yang diletakkan dalam botol minuman. Juga ditunjukkan adalah salah satu pingat emas yang dimenangi dalam pertandingan peneylidikan yang disertai baru-baru ini.
Alat penapis air ‘Bauxshraw’ yang diletakkan dalam botol minuman bagi memudahkan penggunaannya.

 

 

Explore More