April 26, 2024

Search
Close this search box.

Young Maker Challenge@American Corners 2019 Anjuran UTM XCITE Libatkan Pelajar B40 kepada STEAM

JOHOR BAHRU, 23 Apr. — Young Maker Challenge@American Corners 2019 peringkat negeri telah melabuhkan tirai dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perling dan SMK Uda Utama terpilih sebagi pemenang hadiah utama peringkat Negeri Johor.

Mereka akan mewakili Johor pada pertandingan peringkat kebangsaan pada 2 Mei 2019.

Kemenangan itu telah diumumkan selepas proses penjurian yang berlangsung di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru petang tadi.

Pertandingan ini adalah anjuran Pusat Inovasi dan Keusahawanan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia atau UTMXCITE dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.

Pengarah UTMXCITE, Prof. Madya Dr. Mohd. Zaidi Abd. Rozan berkata matlamat utama penganjuran pertandingan ini adalah bagi memberikan pendedahan kepada pelajar di bawah kumpulan B40 ini kepada kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).

“Ia juga dianjurkan untuk mendidik pelajar tentang kemahiran hidup seperti penyelesaian masalah secara inovatif, rekabentuk pemikiran, ketahanan, ketekunan, kolaborasi dan ‘pitching’ untuk memberikan inspirasi kepada pembelajaran secara berterusan melalui pendedahan sistematik kepada perisian terbuka software dan hardware,” katanya.

Pertandingan ini juga melibatkan enam buah negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Kesemua negeri-negeri ini pertandingannya telah diselaraskan oleh Universiti Awam (UA) di tempat masing-masing iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Bagi peringkat negeri Johor, ia melibatkan lima kumpulan dari lima buah sekolah di sekitar Johor yang telah dipilih daripada 24 permohonan melibatkan 72 pelajar.

“Lima kumpulan ini telah menjalani ‘bootcamp’ selama dua hari dan sesi bimbingan selamat lapan minggu dan mereka dikehendaki membina produk inovatif dari awal menggunakan mikrokontroler iaitu Arduino,” katanya.

Kedua-dua pemenang hadiah utama ini akan mewakili negeri Johor ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 2 Mei 2019 di UTM kampus Kuala Lumpur.

Tiga lagi sekolah yang terpilih untuk bertanding adalah SMK Felda Ulu Tebrau, SMK Tun Desa Jaya dan SMK Johor Jaya. Ketiga-tiga sekolah ini telah menerima hadiah saguhati yang terdiri dari wang tunai RM150.00, plak dan sijil penghargaan.

Pemenang hadiah utama pula membawa pulang hadiah wang tunai RM200,00, plak, sijil penghargaan dan Kos Penyertaan ditanggung sepenuhnya ke peringkat akhir/kebangsaan pada bulan Mei 2019 kelak.

Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Bradley A. Hurst.

Bradley A.Hurst (duduk depan dua kiri) bersama Prof Madya Dr. Zaidi Rozan (duduk hadapan paling kiri) bersama lima kumpulan sekolah negeri Johor yang terpilih untuk bertanding pertandingan Young Maker Challenge@American Corners 2019 peringkat negeri Johor di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru.

Explore More