Peranan dan sumbangan penting penemuan sains diakui telah berjaya merangsang pelbagai pembangunan teknologi dan inovasi yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.

Antaranya tempoh hayat manusia semakin meningkat dan peratus kemiskinan dunia semakin menurun.

Begitu juga, penyebaran penyakit, isu kelaparan, kemiskinan tegar dan buta huruf semakin berkurangan walaupun belum mencecah tahap yang dihasratkan seperti Matlamat Kelestarian Global ‘Sustainable Development Goals’.

Dalam hal ini, komunikasi sains menjadi agenda penting bagi memberikan lebih banyak pencerahan berkenaan sumbangan sains.

Hal ini termasuklah membudayakan masyarakat dengan pengetahuan sains melalui perkongsian ilmu yang tepat.

Justeru, saintis dan penyelidik perlu memperbanyakkan lagi hubungan pendidikan dengan masyarakat.

Selain itu, mereka juga perlu meningkatkan kaedah komunikasi yang lebih berkesan bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat.

17 Matlamat Pembangunan Lestari Gobal

 

Dalam konteks pembinaan bakat dalam komunikasi sains, UTM telah mecipta rekod yang cemerlang apabila melahirkan ramai juara dalam pelbagai pertandingan komunikasi sains.

Antaranya Dr. Zaid Omar berjaya memenangi pertandingan FameLab Malaysia dan Dr. Jaysuman Pusppanathan memperolehi pengiktirafan ‘People’s Choice Award’ dalam pertandingan antarabangsa Trans-Tasman Three-Minute Thesis (3MT) serta memenangi pertandingan Falling Walls Lab.

Langkah seterusnya adalah melalui pengenalan latihan yang berstruktur dan berjangka masa panjang kepada saintis dan penyelidik untuk menguasai ilmu komunikasi sains.

Bagi memenuhi hasrat tersebut, Fakulti Sains telah mengorak langkah dengan memperkenalkan siri bengkel dan latihan ‘UTM Science Speaker’ sejak tahun 2017.

Melalui program berkenaan, pendidikan dan pendedahan awal telah diberikan kepada pelajar dalam membina potensi dan bakat serta membangunkan pengetahuan dan kemahiran sebagai seorang komunikator sains.

Selain itu, Fakulti Sains turut mengadakan bengkel penulisan kreatif bersama editor majalah Dewan Kosmik sempena Minggu Penyelidikan 2019 bagi memperkayakan pelbagai genre kemahiran komunikasi sains.

 

Antara bengkel ‘Science Speaker’ Fakulti Sains yang dianjurkan bersama pelajar

Lebih membanggakan, Fakulti Sains kini berjaya melahirkan bakat-bakat baru dalam komunikasi sains.

Yang terbaharu, dua pelajar Fakulti Sains telah mencipta kejayaan yang membanggakan.

Pelajar program PhD (Forensik), Aida Rasyidah Azman merupakan Finalis pertandingan FameLab Malaysia 2019 setelah berjaya memenangi pertandingan FameLab Malaysia bahagian Selatan.

Manakala, seorang lagi pelajar PhD (Kimia), Tan Yong Chee telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan Material Lecture Competition 2019 peringkat kebangsaan.

Sebelum itu, Fakulti Sains juga telah melahirkan juara pertandingan 3MT peringkat kebangsaan bagi kategori sains dan teknologi iaitu Dr. Nor Ain Hussein yang merupakan pelajar PhD (Fizik) pada ketika itu.

Malah, pelajar Sarjana (Matematik) Fakulti Sains, Rashid Admon juga pernah menjuarai pertandingan 3MT versi Bahasa Melayu peringkat UTM.

Aida Rasyidah Azman beraksi semasa Famelab Malaysia 2019

 

Tan Yong Chee memenangi tempat kedua pertandingan Material Lecture Competition 2019

 

Inisiatif yang dipelopori oleh Fakulti Sains ini diharap dapat memperkasakan agenda komunikasi sains di peringkat UTM terutamanya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sumbangan sains untuk manfaat sejagat.

Malah, program pemindahan dan komunikasi ilmu daripada saintis dan penyelidik UTM juga akan terus dipergiatkan bagi memastikan masyarakat dibudayakan dengan pengetahuan sains yang sahih dan tepat.

Disediakan Oleh: Dr. Mohd Bakri Bakar