JOHOR BAHRU, 22 Apr. — Sebuah robot yang bergerak mengikut pergerakan manusia telah berjaya dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik dan Pusat Kecerdikan Buatan dan Robotik (CAIRO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi.

Dr. ‘Athif berkata produk tersebut sangat sesuai untuk digunapakai dalam industri-industri yang berbahaya yang memerlukan kepakaran manusia kerana fungsi tersebut boleh digantikan dengan penggunaan robot, contohnya dalam industri kimia.

“Robot ini juga boleh digunakan untuk tujuan perubatan di mana doktor dapat mengawal robot dari lokasi yang jauh dan berbeza,” katanya.

Produk yang berbentuk seakan-akan tangan manusia tersebut diberi nama Tele-Presence Robotic dan telah dibangunkan dengan usahasama UTM dengan syarikat telekomunikasi elektronik terkemuka Malaysia, Ericsson Malaysia Sdn. Bhd.

Mengulas tentang pengoperasian robot ini, Dr. ‘Athif berkata lengan mekanikal tersebut beroperasi melalui inverse kinematic robot yang mengikut pergerakan lengan operator.

“Operator ini dikehendaki memakai head-set realiti maya untuk melihat visual pergerakan dan menggerakkan tangannya yang dipasang dengan gelang khas yang berupaya mengesan arah pergerakan lengan individu tersebut.

Arahan pergerakan lengan ini kemudiannya dihantar kepada lengan robot dan pergerakan lengan mekanikal akan bergerak mengikut arah pergerakan tangan operator tersebut,” katanya lagi.

Menurut Dr. Athif berkata beliau memulakan projek ini sewaktu menjalani attachment di Ericsson melalui program CEO@Faculty 2.0 Cycle 2, di bawah program AIxCHANGE yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula September 2018 sehingga Februari 2019.

“Sewaktu di sana, saya telah diminta oleh pihak Ericsson untuk membangunkan sebuah demo robotik yang berupaya bergerak berdasarkan pergerakan manusia.

Pergerakan ini dapat dikawal dari jauh menggunakan teknologi wireless berlatensi rendah yang merupakan salah satu kelebihan teknologi 5G”.

“Untuk menjayakan projek ini, perbincangan bersama pihak Ericsson telah dibuat dan konsep kerja robot telah dipastikan sebelum kerja-kerja pembangunan robot bermula,” katanya.

Kumpulan kerja pembangunan robot ini terdiri daripada lima orang yang diketuai oleh Dr. ‘Athif sebagai ketua penyelidik dan empat mahasiswa serta alumni mahasiswa UTM daripada program pasca-siswazah dan pra-siswazah yang menuntut di bawah seliannya, Tham Weng Kit, Wong Liang Xuan, Muhammad Zulhelmi Kamarudin dan Mohd Ridzuan Johary.

Menurutnya lagi, robot ini telah mencatat sejarah yang unik apabila ‘berjabat tangan’ dengan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir Mohammad sewaktu menyertai pameran 5G Malaysia yang berlangsung di Kompleks Perbadanan Putrajaya dari 20-21 April 2019 yang lalu.

Dr. ‘Athif (kanan sekali) menunjukkan kepada Tun Dr. Mahathir tentang cara ‘berjabat tangan’ dengan robot Tele-Presence yang dikawal oleh En. Tham Weng Kit (kiri sekali) semasa di pameran 5G Malaysia yang berlangsung di Kompleks Perbadanan Putrajaya dari 20-21 April 2019 yang lalu.