Disember 22, 2024

Pelancaran Rondaan Kampus Lestari Sahut Inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Universiti

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited dalam meneruskan agenda kelestarian dan mendukung inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan melancarkan program Rondaan Kampus Lestari di kampus Kuala Lumpur.

Pelancaran ini merupakan salah satu langkah untuk memperkenalkan UTM Kuala Lumpur (UTMKL) sebagai sebuah kampus yang bukan sahaja mempunyai gaya hidup urban namun tetap mementingkan aspek kelestarian.

Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin merasmikan Pelancaran Rondaan Kampus Lestari UTM Kuala Lunpur

Melalui pelancaran ini, pasukan keselamatan di kampus ini akan menggunakan basikal elektrik yang nyata lebih mesra alam dan tidak mengeluarkan karbon di sekitar kampus. Sebanyak tujuh (7) buah basikal elektrik telah disediakan bagi menyokong inisiatif ini.

Misi program ini adalah untuk 1) memperkenalkan teknologi penggunaan pengangkutan rendah tenaga dengan penyediaan alternatif pengangkutan dan 2) menyelaraskan elemen kampus lestari di UTM.

Peranan universiti adalah amat besar dalam membantu negara mencapai SDG untuk kelestarian masyarakat oleh itu, melalui pelaksanaan Rondaan Kampus Lestari ini akan membantu dalam mencapai sasaran SGD seperti berikut:

Matlamat ke-7 iaitu memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki, boleh dipercayai, lestari dan moden untuk semua.

Matlamat ke-11 iaitu menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari.

Majlis dirasmikan oleh Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur). Turut hadir ialah Prof. Madya Ir Dr. Mohd Fadhil Md Din, Pengarah Kampus Lestari UTM dan Dr. Pramila Tamunaidu, pensyarah MJIIT yang telah membuat sesi kupasan buku di majlis tersebut.

Pelaksanaan Hari Tanpa Kenderaan (CFD) di UTM Kuala Lumpur

Program ini merupakan inisiatif awal pihak universiti untuk melaksanakan program Car-Free Day (CFD) di UTM Kuala Lumpur bagi memupuk sisi positif pembangunan dan pengangkutan yang lestari. Program ini diadakan memandangkan jumlah kenderaan yang semakin meningkat juga untuk mengurangkan jejak karbon.

Inisiatif semasa CFD termasuklah mengoptimakan pengangkutan awam, penggunaan unit buggy, kawalan lalulintas, penguatkuasaan kenderaan mesra alam yang berdaftar, serta kesedaran gaya hidup sihat dengan berbasikal dan berjalan kaki.

Elemen dan kempen berbasikal ini akan menggabungkan bersama keperluan fasiliti dan budaya menggunakan penghayatan berjalan kaki serta berbasikal tanpa menjejaskan produktiviti kerja.

Menerusi inisiatif yang digerakkan secara dalaman dan menyantuni cabang ekosistem pentadbiran serta akademik di UTM, penggunaan basikal elektrik ini akan membantu melonjakkan penanda aras kelestarian yang mengukur pencapaian berteraskan indeks alam sekitar, ekonomi dan sosial.

 

Explore More