April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Mei  – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan inisiatif UTM prihatin melalui program ‘Jom Balik Kampung’ anjuran Pusat Komuniti dan Jaringan Industri (CCINUTM).

Sebanyak enam orang mahasiswa yang berasal dari negeri Sabah dan Sarawak telah dipilih bagi menerima Sumbangan Khas tersebut yang berupa tunai berjumlah RM200  bagi menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Kesemua bantuan tersebut telah diserahkan oleh Pengarah UTMCCIN, Prof. Madya Dr. Johari Surif kepada mahasiswa berkenaan dalam satu majlis ringkas yang bertempat di Rumah Tropika, UTM Johor Bahru.

Dr. Johari Surif dalam kenyataan rasminya berkata sumbangan tersebut adalah bertujuan meringankan beban mahasiswa terbabit membeli tiket penerbangan untuk pulang menyambut Syawal bersama keluarga masing-masing di kampung halaman.

“Pemberian sumbangan tersebut adalah berdasarkan kepada latar belakang ekonomi keluarga mahasiswa berkenaan. Kami memilih mahasiswa dari golongan B40 iaitu mahasiswa yang datang dari keluarga berpendapatan bawah RM2,000.00 untuk menerima bantuan ini.

“Kami juga mendapat kerjasama dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dalam usaha mendapatkan senarai nama pelajar yang sesuai menerima sumbangan dan dalam masa yang sama memastikan nama terpilih tidak menerima sebarang bantuan dari Pusat Tanggungjawap (PTJ) yang lain,” katanya.

Menurutnya lagi ini amat penting bagi menjamin agihan bantuan yang adil dan juga bersifat menyeluruh kepada mahasiswa golongan B40 lain yang menuntut di UTM.

Dr. Johari berkata CCIN juga mengambil inisiatif mewujudkan ‘UTM Care Charity Shop’ bagi menjana pendapatan yang berterusan untuk membiayai sebarang bantuan kebajikan kepada mahasiswa dan juga bagi disalurkan kepada Endowmen UTM.

“Kedai ini bertempat bersebelahan dengan pejabat Pos UTM di Bangunan Persatuan Mahasiswa (SUB) dan sedang menjalani proses renovasi sebelum beroperasi secara penuh kelak. Untuk makluman semua, kedai ini menerima segala bentuk sumbangan dalam bentuk wang ringgit, pakaian dan juga barangan peribadi dari staf UTM dan juga komuniti sekitar kampus.

“Barangan ini kemudiannya akan dijual di kedai ini dalam harga yang amat berpatutan dan hasil jualan tersebut akan digunakan untuk tujuan kebajikan mahasiswa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti kebajikan untuk mahasiswa, Dr. Johari berkata sebanyak lima aktiviti kebajikan dianjurkan oleh CCIN sepanjang Ramadhan 2019 iaitu lawatan ke Rumah Anak-Anak Yatim Raudatul Mariam di Pulai Utama (09/05/19), Rumah Perlindungan Wanita Baitul Solehah (16/05/19), Madrasah Tahfiz Al-Quran & Sunnah, Kg. Paya, Kulai (16/05/19).

Juga dianjurkan oleh CCIN adalah Jom Balik Kampung (23/05/19) dan yang terakhir Edaran Bubur Lambuk pada staf pada 29/05/19.

Turut hadir pada majlis penyerahan bantuan ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Holistic Lab Halal Informatics Lab Sdn. Bhd, Dr. Mohd. Iskandar Ilyas Tan yang juga merupakan penyumbang terbesar dana kebajikan bagi Program Jom Balik Kampung itu.

Penerima bantuan Jom Balik Kampung 2019 dari Sabah dan Sarawak bergambar kenangan di Rumah Tropika UTM Johor Bahru selepas majlis penyampaian bantuan tersebut oleh Pengarah CCIN, Prof. Madya Dr. Johari Surif (Berbaju Melayu Merah). Turut serta adalah Ketua Pegawai Eksekutif Holistic Lab, Dr. Iskandar Ilyan Tan (berjaket gelap)

Explore More