Disember 13, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Mei 2019 – Seramai 100 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari golongan keluarga isi rumah berpendapatan rendah (B40) telah menerima sumbangan tunai bantuan raya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Raya Endowmen petang tadi.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jamuan, Bangunan Censeleri Sultan Ibrahim, kampus Johor Bahru.

Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata pemberian sumbangan raya Endowmen UTM merupakan acara tahunan dalam usaha Endowmen UTM membantu mahasiswanya yang kurang berkemampuan sepertimana yang dihasratkan oleh penyumbang dana Endowmen itu.

“Pihak Endowmen telah menerima senarai nama mahasiswa B40 dari pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) di mana pemilihan dibuat mengikut kategori tahun pengajian pelajar berkenaan.

“Sebanyak 25 orang telah dipilih mengikut tahun pengajian dari tahun satu hingga ke tahun akhir.

Berbanding tahun sebelum ini, jumlah pelajar yang menerima sumbangan pada tahun ini adalah meningkat kepada 100 orang pelajar,” katanya lagi.

Menurut Dr. Yusof lagi, sehingga akhir 2018 sebanyak RM20 juta telah dibelanjakan oleh Endowmen UTM untuk membantu mahasiswa universiti itu dalam bentuk biasiswa, bantuan kewangan bagi membeli barang keperluan harian, bantuan pembayaran sebahagian yuran pengajian dan penyediaan makanan secara percuma di rak yang disediakan.

“UTM berharap agar para penerima dapat merasakan sedikit keceriaan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang bersama keluarga kelak walaupun jumlah yang disumbangkan mungkin tidak begitu besar.

Dengan sumbangan yang diterima secara berterusan dan terus meningkat, Endowmen UTM yakin dapat melaksanakan tanggungjawap dengan baik dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.

Turut hadir adalah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan dan Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Sementara itu, YAB Menteri Besar Johor dalam ucapan beliautelah melahirkan kesyukuran dan memuji kejayaan UTM mewujudkan Tabung Endowmen sepuluh tahun yang lalu dalam usaha membantu pelajar UTM yang kurang berkemampuan.

Selanjutnya beliau mengajak semua pihak khasnya mereka yang berkemampuan dan pihak korporat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial membantu pelajar yang kurang berkemampuan dengan menghulurkan sumbangan ke Tabung Endowmen UTM.

Dr. Sahruddin (berkemeja putih) bersama penerima sumbangan raya Endowmen UTM selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut kepada mahasiswa B40 universiti itu di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kampus Johor Bahru.

Explore More