April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 8 Apr. — Gabungan persatuan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari lapan negara Arab telah mengadakan Arabic Culture Day 2019 bertempat di Dewan Perdana, UTM kampus Johor Bahru.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama penuh pejabat UTM International ini menggabungkan persembahan kebudayaan, perkongsian kepelbagaian makanan, pameran kesenian, kaligrafi dan pelbagai elemen lain dari negara Yaman, Iraq, Jordan, Mesir, Libya, Syria, Palestin dan Arab Saudi.

Walaupun mengenakan sedikit bayaran kepada pengunjung yang hadir, program yang mempunyai dua aktiviti utama iaitu pameran kesenian dan tradisi pada sebelah siang dan persembahan kebudayaan pelbagai negara Arab pada sebelah malamnya ini telah mendapat sambutan yang amat-amat menggalakkan dari warga tempatan dan antarabangsa di UTM apabila kesemua tiket telah habis dijual.

Pengurus Bahagian Student Experience, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan berkata program ini diadakan sebagai platform kepada pelajar antarabangsa untuk berkongsi budaya dan tradisi kepada warga UTM terutamanya kepada staf dan pelajar tempatan.

“Ini adalah salah satu inisiatif “Internationalization at Home” yang memberi peluang kepada pelajar tempatan untuk mendapat pengalaman global di dalam kampus UTM dan selari dengan konsep Pengalaman Pembelajaran Menyeluruh yang menjadi asas kepada pendidikan dan pembangunan pelajar di Universiti ini,” katanya lagi.

Manakala, pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan UTM dari negara Yaman, Manea Al-Asaadi, yang merupakan Pengarah Program ini berkata, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada UTM atas ruang yang diberikan untuk mengadakan program ini.

“Selain berkongsi pelbagai elemen kebudayaan Arab kepada warga UTM, program ini juga diadakan sebagai manifestasi golongan muda berketurunan Arab yang ingin mengajak negara-negara Arab untuk lebih bersatu dan menghadapi segala cabaran ekonomi dan politik serantau dan dunia dengan secara kolektif dan lebih bertolak ansur.

“Manifestasi ini antaranya disampaikan menerusi persembahan yang bersifat kesatuan dan persaudaraan dengan persembahan terakhir disampaikan secara bersama oleh pelajar dari semua negara Arab di UTM,”katanya lagi.

 

Explore More