Disember 4, 2024

Search
Close this search box.

Solat dan kiblat adalah dua perkara asas yang tidak boleh dipisahkan satu sama lainnya.

Setiap umat Islam diwajibkan mengarah badan ke arah kiblat yang benar iaitu ke arah Ka’bah ketika melaksanakan solat.

Oleh itu, setiap umat Islam haruslah mengetahui secara  tepat kedudukan kiblat di masjid, surau dan rumahnya agar solat yang dilakukan sah serta diterima Allah.

Umat Islam diharapkan tidak melakukan ketetapan yang salah dan terus berulang dalam menentukan arah kiblat. Sudah menjadi kewajipan kepada semua orang Islam untuk menanda arah kiblat yang benar dan tepat, terutama di rumah tempat tinggalnya.

Bagaimanapun masih ramai ahli kariah masjid dan surau serta pemilik rumah yang masih tidak mengetahui kaedah penandaan arah kiblat yang tepat dan benar.

Walaupun terdapat beberapa kaedah atau cara penandaan arah kiblat namun masih ramai yang tidak mengambil kisah mengenai urusan yang penting ini.

Oleh yang demikian, masyakarat harus diberi pendedahan mengenai kaedah penandaan arah kiblat yang betul dan sesuai di rumah masing-masing.

Menyedari keperluan tersebut, Kumpulan Penyelidikan Geomatics Innovation, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan “Bengkel Penghayatan Ilmu Falak dan Teknologi Penandaan Arah Kiblat: 1 Kiblat 1 Ummah” sejak dari tahun 2016 yang mengkhususkan kepada masyarakat seperti guru-guru, ahli jawatankuasa masjid dan surau serta para pelajar sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi.

Program yang dilaksanakan di Muzium Kota Tinggi, Johor ini merupakan program keempat oleh pasukan Penyelidikan Geomatics Innovation FABU UTM.

Seramai 40 orang guru Pendidikan Islam Daerah Kota Tinggi terlibat dalam bengkel ini UTM diketuai oleh Sr Dr. Othman bin Zainon bersama 7 orang pelajar Kejuruteraan Geomatik UTM telah menjayakan program kali ini.

Melalui gabungan pelbagai teknik pembelajaran seperti bicara ilmu dan latihan praktikal, para peserta diberi pendedahan secara hands-on tentang kaedah penandaan arah kiblat.

Majlis Penutup Program telah disempurnakan oleh Penyelaras Program Geomatik, FABU UTM, Dr Norhadija Binti Darwin.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah bicara ilmu, penandaan arah kiblat kaedah tradisional dan demonstrasi penandaan arah kiblat kaedah moden. Semua aktiviti ini dikaitkan dengan kaedah penandaan arah kiblat yang boleh digunakan.

Secara keseluruhan, bengkel ini telah mencapai hasrat Pasukan Penyelidikan Geomatics Innovation UTM yang komited dalam memberi pencerahan dan pendedahan awal mengenai ilmu falak dan penandaan arah kiblat yang disesuaikan dengan perkembangan semasa di Malaysia.

Dengan kelangsungan program ini dapat memberi impak praktikal kepada masyarakat terutamanya guru-guru Pendidikan Islam khususnya dalam pembelajaran Pendidikan Islam dan hubungkait fenomena alam dengan kehidupan manusia sejagat.

Penggunaan teknologi semasa dan aplikasi inovasi dalam penandaan arah kiblat telah diterapkan secara langsung kepada guru-guru secara praktikal.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Sr Dr. Othman bin Zainon (othmanz.kl@utm.my )

Fakulti Alam Bina dan Ukur

Universiti Teknologi Malaysia

Explore More