April 23, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 29 Apr. 2019 – Seramai 1,757 orang graduan telah menerima ijazah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-62 (MK62) yang berlangsung di kampus Johor Bahru itu.

Anugerah telah disampaikan oleh Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah sebagai Canselor UTM.

Baginda bertitah segulung ijazah yang diterima pada hari ini adalah sangat bermakna kepada semua graduan.

“Pembangunan dan masa depan negara kita ini akan dicorak, dipimpin dan diteruskan legasinya berdasarkan ilmu yang dipelajari dan diperoleh.

“Saya juga amat berharap supaya graduan tidak sesekali melupakan jasa ibu bapa yang banyak berkorban dalam memastikan semua mereka berjaya sehingga tamat pengajian,” titahnya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Dr. Sahruddin bin Jamal dan semua pengurusan tertinggi UTM.

Majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar selama dua hari itu juga menyaksikan tiga tokoh mendapat penganugerahan sebagai Profesor Emeritus dan kelahiran graduan sulung yang menerima Ijazah Sarjana Bahasa Dalam Komunikasi dan Budaya Digital.

Daripada jumlah keseluruhan graduan yang bergraduat, seramai 227 orang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 741 Ijazah Sarjana (741) , Ijazah Sarjana Muda (741) dan Diploma (48).

Jumlah ini juga merangkumi graduan antarabangsa apabila seramai 232 orang graduan dari lebih 30 buah negara menerima ijazah masing-masing pada MK62 ini.

Pada kali ini negara Nigeria, Iran dan Pakistan mendahului dari segi bilangannya.

Majlis penganugerahan kali ini juga mencatatkan Sekolah Kejuruteraan Awam memiliki jumlah graduan yang tertinggi iaitu 152 diikuti dengan Sekolah Kejuruteraan Elektrik dengan seramai 149 graduan serta Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dengan 136 orang graduan.

MK 62 juga mencatat sejarah unik apabila buat pertama kalinya dalam sejarah memberikan anugerah akademik paling berprestij iaitu Anugerah Canselor kepada tiga orang penerima berbanding hanya dua orang sebelum ini.

Diadakan dalam tiga sesi, MK62 telah menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim, Dato’ Dr. Abd. Majid A. Kadir dan Dr. Noor Sharipah Sultan Sidi.

MK62 juga menyaksikan kejayaan luar biasa mahasiwa UTM yang terdiri dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu Ruzimi Mohamed@Mahmood dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Komputer dan juga Mohammad Badzly Aszba dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim dianugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Turut berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazah masing-masing adalah graduan Ijazah PhD tertua iaitu Datuk Ishak Ismail yang berjaya menamatkan pengajiannya pada usia 75 tahun dan juga kejayaan jurulatih karate Johor, Wong Keng Yinn yang menamatkan pengajian dan memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Mekanikal).

MK62 turut menyaksikan kejayaan graduan sulung program Sarjana Bahasa Dalam Komunikasi dan Budaya Digital, Akademi Bahasa dan juga bagi program Ijazah Bersama UTM – Universiti Yamaguchi dalam bidang Sarjana Kejuruteraan (Mekanikal Kejituan) dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

 

Dato’ Dr. Abd. Majid A. Kadir (kanan) menerima lantikan sebagai Profesor Emeritus dari Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada majlis Konvokesyen UTM ke-62 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Explore More