April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Apr. — Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai kemahiran kendiri (soft skills) yang amat tinggi dan amat memenuhi keperluan majikan pada masa kini.

Mereka amat bijak dalam berkomunikasi, menguasai bahasa, berfikiran di luar kotak serta sentiasa berfikiran terbuka untuk maju ke hadapan.

Pengurus Cawangan Oxylife TPK Enterprise, Tay Zi Xiang berkata setelah menjalankan proses temuduga serta penerangan kepada mahasiswa UTM, pihaknya mendapati bahawa kelompok pelajar universiti ini mempunyai kemahiran yang amat diperlukan oleh pihak industri.

“Selama dua hari kami berada di sini untuk menjalankan proses temuduga di samping beberapa siri penerangan bagi mencari calon-calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan yang kami tawarkan.

Beliau bersama 71 lagi syarikat telah berada di Karnival Kerjaya UTM 2019 bermula 16 hingga 17 April untuk mencari bakal pekerja di syarikat mereka pada masa hadapan dari kalangan pelajar-pelajar UTM.

“Daripada respon yang kami terima sewaktu sesi temuduga yang dijalankan, kami dapati calon-calon dari UTM memang mempunyai kemahiran kendiri yang tinggi serta amat diperlukan secara kritikal oleh pihak industri secara amnya,” katanya.

Menurutnya lagi, calon pekerja dari UTM yang ditemuduganya mempamerkan penguasaan bahasa Inggeris yang amat baik serta ‘melangkaui jangkaan’ olehnya.

Ditanya mengenai prospek yang diperolehi dari penyertaan syarikatnya ke Karnival Kerjaya UTM 2019 ini, Tay berkata bahawa pihaknya menerima respon yang amat baik dari pengunjung yang datang.

“Secara profesionalnya saya berpendapat bahawa penganjuran program sebegini dapat memberikan ruang yang cukup kepada pihak industri untuk mencari calon pekerja yang terbaik dari kalangan graduan universiti.

“UTM mempunyai Sekolah Biosains dan Kejuruteraan Perubatan yang menawarkan Sarjana Muda Kejuruteraan (Bio-Perubatan).

Program pengajian ini amat berkaitan dengan bidang syarikat kami iaitu peralatan perubatan dan ini amat baik bagi industri seperti kami,” katanya lagi.

Beliau juga berharap agar syarikatnya dapat lagi menyertai program seperti ini pada masa hadapan dan juga berharap agar program ini diteruskan.

Oxylife Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang berpengkalan di Batu Pahat, Johor serta mempunyai sebanyak tujuh cawangan di serata Malaysia.

Syarikat ini mengeluarkan produk alat penyembuhan masalah mata seperti rabun jauh, rabun dekat, rabun silau serta glukoma tanpa perlu bagi pesakit untuk menjalani pembedahan.

Tey Zi Xiang ketika diwawancara di Dewan Sultan Iskandar UTM Johor Bahru.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia Dan Perpaduan Johor, Yang Berhormat Dr. Ramakrishnan A/L Suppiah (empat dari kiri) mencuba peralatan semasa melawat booth Oxylife

Explore More