April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru telah menganjurkan Kem Matematik Tambahan 2019 (K-MaT ’19) di Fakulti Sains UTM JB.

Kem selama lima hari tersebut bermula 24 Mac sehingga 28 Mac 2019 dan telah dihadiri oleh 23 peserta yang merupakan pelajar Tingkatan 5 daripada 10 buah sekolah di sekitar Johor dan juga luar Johor.

K-MaT’19 memberi fokus kepada sukatan mata pelajaran Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 5 dalam gaya suasana pembelajaran universiti.

Peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan siri ceramah, bengkel penyelesaian masalah, dan aktiviti rekreasi berkonsepkan Matematik.

Tiga elemen penting ditekankan dalam kem ini iaitu takrif, konsep, dan penyelesaian masalah aras tinggi.

Penceramah utama K-MaT’19, Tn. Hj. Hamisan Rahmat berkata dalam tiga tahun kebelakangan ini, soalan Matematik dan Matematik Tambahan dalam SPM banyak ditanyakan tentang takrif.

Beliau merupakan pesara UTM yang masih aktif menyumbang kepakaran untuk anak-anak bangsa.

Pengarah Jabatan Sains Matematik UTM, Prof. Madya Dr. Sharidan Shafie berkata penganjuran kem seperti ini dapat meningkatkan minat dan penghayatan pelajar sekolah terhadap matematik yang dianggap sebagai mata pelajaran yang sukar.

“Saya yakin apabila pelajar faham tentang takrif dan konsep, pelajar akan lebih mudah menjawab soalan beraras tinggi, dan Matematik akan menjadi sesuatu yang lebih menyeronokkan untuk diterokai,” kata beliau lagi dalam majlis penutup K-MaT’19 pada hari ini.

Peserta terbaik K-MaT ’19, Mohammad Amierul Hakeem dari SMKA Johor Bahru berkata kem ini banyak membantu beliau mengukuhkan kefahaman terhadap topik-topik penting dalam Matematik Tambahan, dan berharap beliau dan rakan-rakan berjaya mendapat A+ dalam SPM nanti.

 

K-MaT ’19 turut melibatkan tujuh orang mahasiswa prasiswazah dan pascasiswazah UTM yang bertindak sebagai fasilitator kem.

Penglibatan dalam program seperti ini dapat menerapkan kemahiran generik di kalangan mahasiswa yang terlibat dan seterusnya menyumbang dalam penghasilan graduan yang holistik.

Kem ini mendapat maklum balas yang positif daripada peserta yang terlibat dan penganjuran aktiviti seperti ini diharapkan dapat meningkatkan peratusan pelajar dalam bidang sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi.

 

Berita oleh:

Shazirawati Mohd Puzi, Shariffah Suhaila Syed Jamaluddin & Syarifah Zyurina Nordin.

Explore More