April 26, 2024

Search
Close this search box.

Idea Kreatif Pelajar UTM Bantu Pemahaman Masyarakat Kes Pencemaran Sungai Kim-Kim

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Kebimbangan seorang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terhadap keselamatan keluarganya telah mendorong beliau untuk menulis mengenai butiran pencemaran di Sg. Kim Kim dan berkongsi di laman sosial facebook.

Bercakap ketika sesi wawancara yang berlangsung di Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM, Zuhair Ali berkata kegemparan awam yang timbul akibat pencemaran di Sg. Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor itu telah benar-benar membuatkannya risau tentang keadaan keluarganya.

Lebih membanggakan, hasil perkongsian tersebut telah mendapat perhatian netizen sehingga mencapai 18 ribu status ‘like’ daripada kalangan warga netizen laman sosial tersebut.

Ini menunjukkan kualiti pengajaran di UTM amat baik apabila mahasiswanya mampu menterjemah terma teknikal dan saintifik ke terma orang biasa (laymen) agar lebih mudah difahami pada saat-saat genting yang boleh mengancam nyawa penduduk seperti kes tersebut.

“Keluarga saya tinggal di Kg. Sungai Tiram, Ulu Tiram yang hampir dengan kawasan pencemaran itu dan bapa, Ali Mohammad,59, telah mengadu mengalami sakit kepala yang melampau serta kegatalan serius di bahagian mata.

“Mengambil kira situasi tersebut dan juga bagi meningkatkan kefahaman masyarakat sekitar dengan bahasa Melayu yang mudah difahami, saya telah mengambil inisiatif untuk berkongsi mengenai butiran bahan kimia yang telah mencemarkan udara di kawasan itu,” katanya.

Zuhair, 22, mahasiswa tahun akhir jurusan Kejuruteraan Kimia telah menyenaraikan lapan jenis bahan kimia yang terdapat dalam sisa industri yang dibuang dalam Sungai Kim-Kim pada pertengahan Mac 2019 sehingga mengakibatkan seluruh Pasir Gudang lumpuh akibat pencemaran udara.

Menurutnya lagi, sebanyak lapan jenis bahan kimia berbahaya terkandung dalam bahan kimia yang mencemarkan udara di kawasan Pasir Gudang iaitu Gas Metana, Hidrogen Klorid, Acrylonitrile, Acrolein, Benzene, toluene, Xylene dan Limonene.

“Selain menyenaraikan bahan-bahan yang terkandung dalam sisa buangan kimia itu, saya juga menghuraikan setiap satu kesan buruknya kepada manusia dengan harapan semua penduduk kampung maklum mengenai pencemaran itu.

“Saya juga berharap semua penduduk kampung termasuk keluarganya bertindak keluar dari kawasan itu demi keselamatan masing-masing,” katanya.

Zuhair berkata, kebanyakan kesan sampingan daripada bahan-bahan ini adalah sakit kepala, loya dan muntah-muntah dan juga kegatalan pada kulit manusia.

Pencemaran sisa toksik yang dibuang ke dalam Sungai Kim-Kim tersebut telah menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik itu yang bermula pada 7 Mac 2019 lalu.

Sejumlah 947 orang telah dirawat dengan sembilan daripadanya dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran itu.

Berikut merupakan pautan artikel yang dihasilkan oleh beliau: https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/bekas-pelajar-smk-sungai-tiram-beri-info-lengkap-bahaya-8-kimia-sungai-kim-kim-1.923804

         

Zuhair Ali selepas diwawancara di Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM.

Explore More