April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pada tarikh 30 Mac 2019 yang lepas telah tercatat satu sejarah unik apabila mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhamad Syafik Rahmat telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa 2018.

Kejayaan mahasiswa ini adalah hasil inisiatif UTM secara amnya dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) secara khususnya.

Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Aktiviti Pelajar, HEP UTM, Ili Ruwaida Md. Yusof berkata universiti sentiasa melaksanakan beberapa inisiatif khas yang berkeupayaan untuk memacu kebolehan setiap mahasiswanya agar sentiasa seiring dengan arus perubahan semasa.

Ini juga bagi memberikan golongan mahasiswa ini peluang untuk mengasah bakat dan elemen kemahiran kendiri yang kini seolah-olah menjadi ‘trend’ utama pemilihan pekerja di kalangan majikan di negara ini.

“UTM telah mengambil beberapa langkah iaitu mengukuhkan kepimpinan pelajar, mewajibkan penganjuran program komuniti bagi setiap pelajar UTM dan mewujudkan Tabung Khas untuk menyokong aktiviti pelajar.

Kami juga mengambil berat peranan penasihat akademik dan aktiviti mahasiswa di samping penganjuran Program 5 Trek Kecemerlangan (5ETP),” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan dengan hal ini, Ili Ruwaida berkata Program 5ETP yang mula dianjurkan pada tahun 2012 berpotensi untuk mengembangkan bakat dalam lima teras utama iaitu Kempimpinan Global, Minda Nobel, Teknousahawan, Kecemerlangan Sukan dan Teknohafiz.

“Program ini memberikan pendedahan awal dalam lima bidang itu supaya mereka menjadi pelajar holistik berdasarkan teras disertai.

“Contohnya pembabitan seseorang pelajar itu dalam aktiviti kesukarelawanan di Kemboja dapat memberikan banyak pengalaman berguna dari aspek kepimpinan, pemindahan teknologi dan komunikasi,” katanya.

Bagaimanapun menurut Ili Ruwaida lagi, hanya 10 pelajar dihadkan untuk dipilih menyertai setiap teras selepas melalui proses saringan dan temuduga menjadikan jumlah keseluruhan peserta program ini ialah 50 orang untuk kelima-lima kohort yang disediakan.

“Kehidupan dalam kampus dilengkapi kemudahan terbaik seperti kolej kediaman yang selesa, kos sara hidup yang rendah dan pengajian mendapat penarafan universiti terbaik di peringkat Asia serta dunia amat membantu pengembangan bakat belajar,” katanya lagi.

Di samping program 5ETP, HEP juga mengambil beberapa inisiatif lain seperti melahirkan lebih ramai pemimpin pelajar ialah dengan menambah kekerapan pelantikan pucuk pimpinan persatuan pelajar iaitu setiap semester dan bukan secara tahunan.

“Ini untuk mengenalpasti calon-calon pemimpin yang berkualiti dan meramaikan bakat-bakat berpotensi yang boleh diketengahkan.

“HEP juga ada menyediakan tabung dana khas bagi menyokong setiap aktiviti pelajar yang dianjurkan. Ini berkaitan dengan polisi universiti yang mewajibkan setiap pelajar untuk menjalankan dua program kemasyarakatan berimpak tinggi,”katanya.

YB. Dr. Maszlee Malik (tiga kiri) dan juga Muhamad Syafik Rahmat (terkanan) sambil memegang trofi Anugerah Tokoh Siswa 2018 sambil diperhatikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa), Prof. Dr. Durrishah Idrus (dua kanan) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Explore More