JOHOR BAHRU, 12 Mac — Pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa mengamalkan keterbukaan dan mengalu-alukan mahasiswa untuk menyuarakan pendapat dan persoalan bagi tujuan penambahbaikan.

Hal ini dicerminkan melalui penganjuran sesi jerayawara mahasiswa atau ‘Townhall Mahasiswa’ yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) UTM dengan kerjasama Jawatankuasa Mahasiswa Kolej di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, hari ini.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar berkata townhall tersebut mencatatkan satu sejarah tersendiri dalam alam akademik dan kehidupan mahasiswa di UTM.

Dipetik daripada salah satu posting di laman facebook rasmi beliau, Datuk Wahid berkata dengan kehadiran lebih 1500 orang mahasiswa tersebut menunjukkan universiti sentiasa memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dan menzahirkan pandangan masing-masing secara terbuka terus kepada pengurusan Universiti.

Townhall tersebut turut perkasakan pelajar kerana menjadi satu platform untuk menyuarakan pandangan dan permasalahan secara terus kepada pengurusan untuk kebaikan bersama.

Dalam sesi tersebut, persoalan daripada mahasiswa dikendali secara berhemah dan sekiranya pelajar yang memerlukan penerangan lanjut, Datuk Naib Canselor telah membuka ruang tambahan untuk berbincang secara bersemuka.

Platform ini sangat penting bagi membolehkan UTM menjalankan fungsinya yang utama iaitu sebagai organisasi pendidikan tinggi yang menghasilkan bakal graduan berkualiti bagi memacu pembangunan negara pada masa hadapan.

“Atas sebab itu, kakitangan UTM dari segenap peringkat perkhidmatan sentiasa diingatkan agar memberikan khidmat yang terbaik terutamanya dalam hal ehwal pengurusan pelajar dalam usaha melahirkan golongan cendekiawan yang bakal menerajui negara pada masa hadapan,” kata beliau sewaktu memberi ucapan aluan dalam sesi townhall tersebut.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus, Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin, Pemangku Bendahari UTM, Abu Bakar Mohd. Salleh dan Presiden MPP UTM, Muhammad Ikhmal Borhan.

Menurutnya lagi, selain sentiasa menitikberatkan soal kemudahan dan kebajikan mahasiswa, pihak pengurusan universiti juga tidak mengamalkan dasar ‘merahsiakan’ perkara-perkara yang patut diketahui oleh mahasiswa.

“Mahasiswa tidak perlu bimbang akan pihak pengurusan yang merahsiakan perkara-perkara tertentu mengenai hal ehwal pelajar kerana kami mengamalkan dasar telus dan tidak bersikap ‘menyorok’ dari pengetahuan pelajar.

“Ini bagi mengelakkan salah faham dan juga persepsi buruk yang mampu merosakkan nama UTM di persada nasional dan juga antarabangsa,” katanya.

Antara soalan yang dibangkitkan oleh mahasiswa adalah berkaitan dengan yuran pengajian, permohonan biasiswa endowmen UTM, isu keselamatan dalam kampus, pengurusan asrama dan juga berkenaan dengan penglibatan pelajar UTM sebagai atlet dalam temasya sukan berprestij.

Presiden MPP, Ikmal berkata tonwhall ini menunjukkan mahasiswa sudah ada semangat bersuara dan pada pendapat beliau, ianya bagus untuk pemerkasaan hak mahasiswa.

“InsyaAllah segala persoalan dan cadangan yang telah dibangkitkan akan diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak Universiti.

Saya yakin para mahasiswa juga akan lebih peka dengan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan pencapaian akademik yang cemerlang disulami dengan didasari akhlak dan sahsiah terpuji untuk kebaikan diri, keluarga, negara dan sejagat,” katanya.

Prof. Wahid ketika memberikan penerangan mengenai hal ehwal pengurusan mahasiswa UTM.

Seorang mahasiswa UTM mengajukan soalan kepada Prof. Wahid ketika sesi Townhall Mahasiswa 2.0 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Antara pegawai kanan UTM yang hadir sesi Townhall Mahasiswa 2.0. Dari kiri Pro-Naib Canselor (Strategi), Prof. Dr. Shahrin Mohamad, Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin, Pemangku Bendahari UTM, Abu Bakar Mohd Salleh dan Pengarah Kerja, Prof. Dr. Roslan Amiruddin.

Mahasiswa yang menghadiri sesi Townhall Mahasiswa 2.0 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.