April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 13 Feb — Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil langkah proaktif dalam menggunakan tenaga solar bagi menerangi laluan pelajar untuk ke Arked Cengal.

Sistem solar yang dinamakan sebagai ‘Off-Grid Photovoltaic’ atau OGPV ini juga adalah sistem solar penuh yang pertama dipasang di UTM di dalam usaha menyahut cabaran sebagai universiti berkonsepkan kelestarian ini.

Projek ini bukan sahaja membantu memudahkan urusan pelajar di KTHO malah turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) universiti dalam membentuk persekitaran yang lestari dan mesra alam.

Pengetua KTHO yang juga merupakan ketua projek tersebut, Dr. Jasrul Jamani Jamian berkata sistem OGPV tersebut telah dibangunkan bersama dua lagi penyelidik lain iaitu Dr. Zulkarnain Ahmad Noordin dan Dr. Muhammad Ariff Baharudin dari Fakulti Kejuruteraan dengan dibantu seramai 30 orang mahasiswa penghuni KTHO.

“Untuk pengetahuan semua, sistem OGPV ini adalah berkonsepkan solar sepenuhnya dan adalah berbeza dengan sistem solar bergrid seperti kebanyakan yang dipasang kini.

Perbezaannya amat ketara dimana secara teknikalnya OGPV ini berfungsi sepenuhnya ke atas tenaga solar yang diserap ke dalam storan baterinya berbeza dengan sistem solar grid yang berfungsi secara dwi-fungsi iaitu tenaga solar dan juga elektrik grid konvensional,” katanya.

Menurutnya Dr Jasrul, pada peringkat awal pembangunan sistem ini, beliau serta rakan-rakan penyelidiknya telah mengambil inisiatif memberikan taklimat kepada para penghuni KTHO yang rata-ratanya terdiri dari mahasiswa bukan bidang kejuruteraan tenaga.

“Selama seminggu masa diambil bagi memberikan taklimat kepada penghuni KTHO yang rata-ratanya mengambil jurusan kejuruteraan kimia tentang faedah menggunakan tenaga solar ini sebelum ia berjalan sepertimana kini,” katanya.

Menerangkan mengenai objektif pembangunan sistem ini, Dr. Jasrul berkata beliau telah terpanggil untuk membangunkan sistem ini setelah sebulan dilantik menjadi pengetua di kolej kediamanitu pada tahun 2017.

“Ini kerana laluan di hadapan pejabat kolej menuju ke Arked Cengal itu tersangat gelap dan membahayakan pelajar yang lalu-lalang di situ untuk menuju ke Arked Cengal bagi membeli makanan,” katanya.

Selain di kawasan laluan pelajar itu, sistem OGPV ini turut juga dipasang di kawasan bulatan tengah pejabat KTHO bagi tujuan penyemburan pokok bunga dan juga kemudahan pengecas telefon bimbit yang terdapat di sebuah wakaf di situ.

Dr. Jasrul berkata beliau terpanggil untuk membangunkan sistem itu disebabkan mahu menunjukkan bagaimana hasil penyelidikan boleh digunakan bagi membantu menyelesaikan masalah semasa.

“Selain daripada menyelesaikan masalah semasa, saya juga berhasrat untuk menjadikan KTHO sebagai lapangan pengujian kepada hasil penyelidikan mana-mana penyelidik UTM yang berpotensi bagi memberikan faedah kepada komuniti setempat.

“Ini bagi membolehkan kita membuat penilaian secara rambang mengenai faedah hasil penyelidikan tersebut dan keberkesanannya kepada masyarakat sebelum boleh dikomersilkan secara skala besar-besaran,” katanya.

Sistem OGPV ini telah dibangunkan oleh Dr. Jasrul dengan dibantu oleh Dr. Zulkarnain Ahmad Noordin manakala Dr. Muhammad Ariff pula menyumbang kepakaran kepada sistem pemantauan (Internet of Things) atau IoT.

“Melalui sistem ini, kami boleh memantau mengenai keadaan semasa beberapa perkara penting seperti storan tenaga dalam bateri dan juga jumlah tenaga solar yang telah diserap melalui panel solar ini,” katanya.

Dr. Jasrul juga berharap agar sistem OGPV yang dibangunkannya boleh dinilaikan keberkesanannya sebelum dipasang di semua perhentian bas dalam kampus UTM.

Laluan pelajar di hadapan pejabat KTHO yang diterangi oleh mentol yang dikuasakan oleh tenaga solar OGPV (set OGPV boleh dilihat pada bahagian sebelah kanan gambar). Laluan ini menjadi gelap ketika waktu malam dan membahayakan pelajar yang menggunakannya.
Soket pengecas telefon bimbit yang dikuasakan oleh sistem solar OGPV dipasang di wakaf di bahagian tengah kawasan pejabat KTHO. Selain tujuan mengecas, tenaga ini juga digunakan bagi menggerakkan paip penyiram air bagi menyiram ‘mini garden’ di kawasan itu.

Explore More