April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pusat Islam UTM Kongsi Ilmu & Pengalaman Pentadbir Masjid UA Melalui Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Ekonomi Masjid

JOHOR BAHRU, 28 Feb. — Seramai 33 orang Pengarah-pengarah dan Pentadbir Kanan Pusat – Pusat Islam dari 25 buah universiti awam dan swasta telah menyertai Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Ekonomi Masjid & Lawatan kerja ke Masjid Singapura.

Program yang berlangsung selama dua hari itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Bte Idrus di Dewan Senat, UTM Johor Bahru.

Penyelaras Program, Rahmawatulhusna Sokhipulhadi berkata program kali ini merupakan program tiga dalam satu melibatkan program konvensyen, mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institut Pengajian Tinggi dan lawatan rasmi ke Masjid-masjid di Republik Singapura.

“Antara masjid-masjid yang bakal kami lawati adalah Masjid Yusof Ishak, Masjid al-Islah, Masjid Sultan dan Masjid Teluk Belangah, Singapura.

“Lawatan ini bagi memberikan kami peluang untuk mempelajari dan berkongsi pengalaman dengan pentadbir-pentadbir masjid di sana tentang kaedah pentadbiran masjid moden yang lebih berkesan di samping memperolehi pengalaman berguna berkenaan dengan aspek penjanaan kewangan untuk masjid,” katanya.

Bercakap mengenai program yang dianjurkan, Rahmawatulhusna berkata objektif utama penganjuran konvensyen ini adalah bagi memberikan platform perbincangan yang berkesan di kalangan peserta khasnya dalam aspek penjanaan sumber kewangan untuk masjid.

“Melalui konvensyen ini juga, para peserta yang terlibat boleh berbincang mengenai rancangan mewujudkan masjid yang bersifat autonomi dalam aspek penjanaan kewangan yang berkesan tanpa pergantungan sepenuhnya kepada kepada kutipan dan derma semata-mata.

“Peserta juga berpeluang untuk berbincang dalam mewujudkan program yang boleh menjana ekonomi masjid di samping mengideakan program-program pengimarahan masjid yang dapat memberikan impak tinggi kepada pembangunan modal insan dan negara,” katanya.

Adalah menjadi harapan penganjur supaya idea-idea yang bernas dapat dilahirkan dalam aspek penjanaan kewangan untuk pentadbiran masjid.

Turut hadir adalah Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Aminuddin Ruskam dan juga Timbalan Pengarahnya, Dr. Mohd Nasir Masroom.

Antara wakil UA yang hadir
Timb. Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus bergambar bersama Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Aminuddin Ruskam dan juga para peserta Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Ekonomi Masjid yang berlangsung di Dewan Senat, UTM Johor Bahru.

Explore More