April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Feb. — Satu program usahasama pintar antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Telepod iaitu TELEPOD-UTM telah dilancarkan untuk menyahut inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di universiti selain menggalakkan budaya hidup lestari dan keusahawanan di kalangan pelajar universiti awam dan universiti swasta.

Misi program ini adalah untuk 1) memperkenalkan teknologi penggunaan pengangkutan rendah tenaga dengan penyediaan alternatif pengangkutan, 2) menyelaraskan elemen kampus lestari di UTM dan 3) menyediakan peluang keusahawanan di kalangan mahasiswa.

TELEPOD, sebuah “e-scooter board” merupakan cetusan idea sekelompok anak muda yang telah menamatkan pengajian di universiti Singapura dan menubuhkan sebuah syarikat yang berasaskan kepada pengangkutan mesra pengguna bagi kepentingan pembangunan kampus lestari seperti di UTM.

Konsep ini merupakan pelopor di dalam membangunkan kemajuan pengangkutan lestari yang memenuhi keperluan segera universiti yang mementingkan keberhasilan Pelan Kampus Rendah Karbon.

Di samping menyahut Inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) universiti, penggunaan skuter ini juga mampu menyokong perlaksanaan polisi Zon Tanpa Kenderaan (CFZ) yang bakal dikuatkuasakan pada September 2019.

Pengarah Pusat Kelestarian UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din berkata konsep penggunaan e-scooter ini merupakan pelopor di dalam membangunkan kemajuan pengangkutan lestari yang memenuhi keperluan UTM yang mementingkan keberhasilan Pelan Kampus Rendah Karbon.

“Di Malaysia, UTM merupakan universiti yang pertama terpilih bagi menjalankan kerjasama komersil dengan Telepod. Ini memandangkan institusi ini merupakan antara pelopor yang menekankan aspek kelestarian jejak karbon dan telah dimasukkan dalam pelan global pencapaian UTM sejak tahun 2015.

“Di atas sebab itu UTM telah terpilih bagi melaksanakan agenda budaya rendah karbon yang menyokong gaya hidup sihat dan kekal cergas,” katanya lagi.

Beliau ditemui selepas sidang media pelancaran TELEPOD-UTM yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar di Padang Utama selepas Program Aerobik Bulanan staf universiti berkenaan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, YB Cheo Yee How.

Dr. Mohd Fadhil berkata program penggunaan telepod dalam kawasan kampus ini adalah inisiatif awal pihak universiti dalam menyediakan warga kampus ini ketika perlaksanaan polisi CFZ yang bakal berlangsung pada bulan September 2019 ini.

“Kajian semasa yang dijalankan mendapati trafik dalaman UTM menyumbang sebanyak 5.12 metrik tan karbon dioksida per kapita setahun iaitu 32 peratus daripada keseluruhan pelepasan gas karbon iaitu setara dengan populasi UTM yang dianggarkan seramai 22,000 hingga 25,000 orang itu.

“Memandangkan jumlah kenderaan yang semakin meningkat, satu inisiatif bersepadu akan digerakkan menerusi perlaksanaan program Car-Free Day (CFD) yang telah pun dimulakan pada 20 Disember 2016 untuk mengurangkan jejak karbon sehingga 40 peratus menjelang 2020,” katanya.

Program CFZ ini bakal dilaksanakan mengikut zon dan lokasi yang ditentukan ini akan mengubah polisi serta garis panduan penggunaan bermotor menjelang tiga tahun lagi dengan memperkenalkan limitasi kenderaan berenjin secara berperingkat.

“Polisi CFZ ini akan membantu membudayakan konsep e-scooter ini daripada riadah kepada rutin yang bakal membantu mempromosi elemen pengangkutan ini,” katanya lagi.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (tiga kiri) melancarkan e-scooter TELEPOD di Padang Utama, UTM Johor Bahru.
Prof. Wahid (kanan) mencuba e-skuter TELEPOD yang baru dilancarkan. Kenderaan ini dijangka akan digunakan sepenuhnya apabila polisi CFZ dikuatkuasakan sepenuhnya pada bulan September 2019.

Explore More