April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 Feb. — Pusat Jaringan Komuniti Industri (CCIN) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menggariskan Strategi Utama sebagai sasaran pusat itu untuk tahun 2019 ini bagi mengukuhkan kemasyhuran nama universiti di kalangan pihak industri dan komuniti dalam dan luar negara.

Pengarah CCIN, Prof. Madya Dr. Johari Surif berkata strategi berkenaan ialah 1) Pemerkasaan hubungan antara CCIN kepada Industri dan Komuniti, 2) Menjadi ‘penghubung’ yang efektif di antara penyelidik dan tenaga pakar di UTM dengan pihak-pihak berkepentingan seperti industri dan komuniti.

Menurutnya CCIN berperanan besar dalam menubuhkan Jawatankuasa Perlaksanaan Jaringan Industri & Komuniti bagi tujuan penyelarasan dalaman antara Pusat-Pusat Tanggungjawap (PTJ).

“CCIN bercadang untuk mewujudkan Polisi Libatsama Komuniti & Industri bagi memastikan segala garis panduan universiti diikuti sepenuhnya dalam perlaksanaan penggunaan kepakaran universiti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara di pejabatnya di bangunan Tropika, UTM Johor Bahru semalam.

Menurutnya lagi, banyak pihak samada di dalam dan juga luar UTM masih kurang menyedari mengenai peranan CCIN yang menjadi jambatan perhubungan antara pihak universiti dengan industri dan komuniti.

“Empat strategi utama yang telah kami gariskan ini juga adalah setara dengan fokus kami sebagai ejen penghubung antara UTM dan juga dunia luar.

“Fokus utama kami adalah kepada Industri dan juga Komuniti di mana pada tahun 2019 ini, kami berhasrat bagi memperluaskan dan memperkukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara dua pihak,” katanya.

Menurut Dr. Johari lagi, CCIN berfungsi untuk menyatukan segala pakar-pakar bidang UTM dengan pihak industri dengan tujuan menggunakan kepakaran ini bagi menyelesaikan masalah industri yang timbul.

“Konsep ini dinamakan sebagai ‘Translational Research’ di mana hasil penyelidikan di universiti digunakan sebagai penyelesai masalah di sektor industri.

“Selain industri, CCIN juga tidak melepaskan fokusnya kepada golongan masyarakat (komuniti) di mana konsep ‘Knowledge Transfer Programme’ bakal diperkasakan pada 2019 ini menerusi khidmat masyarakat,” katanya.

Melalui konsep ini, kepakaran UTM digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah kehidupan harian yang membelenggu sekelompok masyarakat yang mendiami sesebuah mukim itu.

Pengarah CCINUTM, Prof. Madya Dr. Johari Surif di hadapan pejabatnya di UTM Johor Bahru.

Explore More