November 25, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 17 Feb. — Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA), Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung kalinya mangadakan majlis makan malam yang dipanggil UTM Civil Engineering Alumni Dinner (UTM-CEAD) bagi meraikan para Alumni SKA pada 16 Februari lalu.

Majlis yang diadakan di Dewan Banquet, Residensi UTM KL, Kuala Lumpur tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Majlis turut dihadiri oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar dan Presiden Persatuan Alumni UTM, Prof. Tan Sri Dato’ (Dr.) Ir. Jamilus Hussein yang juga merupakan Pengerusi KLIA Premier Holdings Sendirian Berhad.

Dengan tema “Celebrating Decades of Continuous Excellence”, majlis makan malam ini meraikan kira-kira 300 orang Alumni SKA yang telah banyak mencapai kecemerlangan dan menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada perkembangan dan kejayaan SKA dan UTM.

Majlis ini turut menjadi wadah pertemuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan jalinan kerjasama antara Alumni SKA dan pihak pengurusan UTM.

Selain itu ia juga diadakan bagi membantu usaha pengumpulan dana untuk Tabung Endowmen SKA, UTM yang akan digunakan bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur SKA, penambahbaikan kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta bantuan ihsan kepada pelajar yang tergolong dibawah kategori B40.

Dalam ucapan perasmian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir  menyokong baik usaha pihak SKA mengadakan majlis seumpama ini bagi mengurangkan kebertanggungan UTM sebagai institusi pengajian tinggi kepada dana Negara dan mempertingkatkan usaha ke arah kelestarian pengurusan UTM.

AEC Prima Sdn Bhd dan Persatuan Alumni UTM merupakan penaja terbesar untuk majlis ini dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM10,000.

Universitas Sriwijaya,  Nik Jai Associates Sdn Bhd, Smart Tycoon Group, Engineering Seismology and Earthquake Engineering Research (eSEER), GJ Runding Sdn Bhd, CCM Pharmaceuticals Sdn Bhd, DIRJEN PU PA Jakarta, Syarikat Onegas Master, Silver Gold, dan UTM Holdings Sdn Bhd juga merupakan antara penaja-penaja yang telah banyak menyumbang dalam menjayakan majlis ini.

Dalam majlis ini juga, pihak SKA, UTM telah menganugerahkan anugerah “Out-standing Alumni” kepada Prof. Tan Sri Dato’ (Dr.) Ir. Jamilus Hussein atas pencapaian dan sumbangan besar beliau kepada pembangunan Negara terutamanya dalam bidang kejuruteraan awam dan turut banyak menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan UTM.

Majlis seumpama ini telah berjaya mewujudkan platform bagi mengukuhkan hubungan dan sinergi antara institusi pengajian tinggi dan alumni yang kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional.

Platform seumpama ini amat diperlukan bagi membantu institusi pengajian tinggi untuk kekal relevan dan menghasilkan graduan yang berkualiti tnggi.

Sumber: Dr. Norelyza Hussein dan Dr. Nor Eliza Alias.

Explore More