Disember 26, 2024

UTM – Petronas Dagangan Berhad Materai MoU Bangunkan Keupayaan Dan Pupuk Start-Up

PUTRAJAYA, 14 Dis. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) untuk membangunkan keupayaan mahasiswa dari segi kemahiran keusahawan dan perniagaan serta memupuk diri menceburi bidang start-up.

Turut sama menandatangani MoU ialah empat universiti lain iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi MARA(UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Upacara menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Y.B. Dr. Maszlee Malik dan diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar,  Naib Canselor UTP, Prof. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, MD/CEO· UPM Holdings, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, Timbalan Naib Canselor Akademik, UiTM Prof Dr. Mohammad Kamal Haron, dan Presiden/CEO UTAR, Prof. Ir. Dato’ Dr. Chuah Hean Tek,

Wakil UTM yang turut sama dalam majlis. Dari kiri: En. Kamil Khusairi, CEO UTM Holding, Tn. Hj. Hafizi Md Lani, Pengurus Besar Uni-Technologies Sdn. Bhd., Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Pengarah iHumEn, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Shamsul Sahibudin, Pro Naib Canselor UTMKL, En. Mohd Sharil Abdullah, Ketua Pentadbiran UTMKL

 

Sesi Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman

Berucap dalam majlis itu, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin berkata, “Upacara menandatangani hari ini menandakan komitmen kami untuk membangunkan keupayaan dan keyakinan di kalangan mahasiswa. Kami mahu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam melengkapkan mereka dengan pengetahuan industri supaya mereka dapat beralih ke alam pekerjaan kerja dengan lebih lancar.

Kami juga mahu menggalakkan mahasiswa untuk memulakan perniagaan start-up yang inovatif dan kami menyokong mereka dari segi panduan dan kemudahan yang diperlukan”.

Antara idea yang dirancang termasuklah membangunkan stesen PETRONAS baru di kawasan universiti di mana sebahagian stesen itu boleh diuruskan pihak universiti.

Universiti juga berpeluang menggunakan ruang stesen untuk menjalankan perniagaan sendiri seperti kafe, trak makanan, salun rambut, dobi atau butik pakaian yang akan membantu mereka menjana pendapatan tambahan dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran perniagaan yang diperlukan.

Selain itu, para pelajar juga akan diberi peluang untuk mempelajari selok-belok dalam pengendalian stesen runcit bahan api melalui program keusahawanan PDB.

Di dalam perancangan juga, PDB ingin mewujudkan hab inovasi dan usahawan di stesen-stesen ini, di mana ia akan berfungsi sebagai ruang kerja bersama dan inkubator start-up untuk para pelajar, pensyarah dan bakal pelanggan untuk membincangkan peluang perniagaan, sama seperti konsep stesen di Jalan Kolam Air Lama, The Place @ Ampang.

Penerangan aktiviti kepada Menteri Pendidikan Malaysia, YB. Dr. Maszlee bin Malik

Dato’ Sri Syed Zainal Abidin menambah, “Kami melihat ini sebagai kerjasama menang-menang, di mana kami dapat bekerjasama dengan bakat muda untuk mencipta inovasi bagi perniagaan runcit bahan api dan pada masa yang sama, kami dapat menyediakan platform yang kondusif yang mampu meningkatkan kemahiran keusahawanan dan kebolehpasaran dengan menerokai infrastruktur dan kepakaran kami”.

Berikutan majlis menandatangani perjanjian ini, PDB akan bekerjasama rapat dengan universiti untuk membangunkan rancangan yang lebih terperinci dan bertujuan untuk memulakan inisiatif pertama dalam tahun pertama. Di peringkat UTM, inisiatif ini akan dilaksanakan oleh UTM Holding Sdn. Bhd. dan Uni-technologies Sdn. Bhd. Inisiatif ini dilihat sangat penting bagi UTM untuk melengkapkan ekosistem keusahawanan dan digital di UTM.

Sidang media setelah selesai sesi menandatangani Memorandum Persefahaman

Projek ini merupakan salah satu impak hasil daripada program oleh Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan iaitu CEO@Faculty Program yang dilaksanakan bagi menjalinkan kerjasama rapat antara industri dan akademia.

Dalam program ini, UTM telah menempatkan Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan di bawah seliaan Dato’ Sri Syed Zainal Abidin.

Explore More