Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 16 Dis. – Universiti bukan hanya tempat untuk mendapatkan ijazah serta kelayakan tinggi untuk mengubah kehidupan malahan juga berfungsi sebagai platform untuk membina asas kepimpinan yang unggul.

Selain mengasah bakat kepimpinan yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, universiti juga adalah tempat untuk membantu seseorang itu dalam membangunkan kemahiran kendiri yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan pada masa kini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Mahasiswa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. Zaid Omar berkata peranan universiti kini sudah banyak berubah selaras dengan perkembangan zaman.

“Masyarakat setempat juga seharusnya mengubah pandangan mereka kerana universiti pada masa kini telah berubah fungsi kepada adalah tempat untuk membina ‘jenama’ terbaik dalam diri seseorang selain mendapat pendidikan tinggi.

“Perubahan ini seharusnya diterima dengan perasaan terbuka kerana pasaran kerja pada masa kini tidak lagi melihat kepada pencapaian akademik semata-semata sebagai pertiimbangan untuk mendapat jawatan yang ditawarkan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 27 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi sesi 2018/2019. Turut hadir ialah Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Dr. Zaid selanjutnya berkata bahawa penyertaan pelajar dalam MPP adalah salah satu daripada mekanisme pembentukan jati diri kepada setiap siswazah universiti di Malaysia.

Dr Zaid Omar

Menurutnya MPP yang dilantik dari kalangan mahasiswa membawa pengertian bahawa mereka juga adalah pelajar dan mempunyai tanggungjawap untuk belajar sepertimana mahasiswa yang lain tetapi yang menjadi perbezaannya adalah tanggungjawap yang dipikul oleh mereka.

“Seorang MPP itu masih perlu meneruskan tanggungjawap mereka sebagai pelajar tetapi dalam masa yang sama terikat dengan tugas sebagai ‘pembawa suara’ pelajar dalam kampus.

Mereka dilantik berdasarkan undi yang diperolehi semasa kempen. Undi diberikan oleh mahasiswa lain yang mungkin tidak pernah mengenali mereka.

Di sinilah terletaknya tanggungjawap berat di bahu MPP ini untuk menjalankan kewajipan sebagai pembawa suara pelajar lain yang mengundi mereka,” katanya lagi.

Menurut Dr. Zaid lagi, kewujudan MPP bukanlah untuk membangkang semata-mata tetapi haruslah juga memainkan peranan yang seimbang dalam memberikan cadangan yang bernas kepada pentadbiran universiti.

“Pentadbiran universiti mempunyai banyak agenda yang perlu diuruskan dan mungkin tidak punyai banyak ruang dan peluang untuk melihat semua urusan berkenaan mahasiswa.

“Di sinilah wujud kepentingan MPP di mana suara dan cadangan mereka amat diperlukan dalam aspek pengurusan kebajikan dan hal ehwal pelajar kerana mereka juga adalah mahasiswa dan lebih memahami keperluan rakan-rakan mereka,” katanya.

Turut hadir dalam majlis yang berlangsung di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim itu adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus dan Presiden MPMUTM sesi 2018/2019, Muhammad Ikhmal Borhan.

Barisan kepimpinan baru MPMUTM sesi 2018/2019 bergambar kenangan bersama pengurusan tertinggi UTM selepas mengangkat sumpah sebagai MPP universiti itu di Dewan Senat semalam.

Presiden MPMUTM sesi 2018/2019, Muhammad Ikhmal Borhan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More