Disember 25, 2024

Konvokesyen UTM ke-61 : Tahniah Buat 14 Kakitangan Bukan Akademik!

JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Seramai 14 orang kakitangan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana (PPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menamatkan pengajian dan mendapat ijazah masing-masing di Majlis Konvokesyen (MK) ke-61 yang berlangsung baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, seorang telah berjaya bergraduat dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) manakala lapan orang telah berjaya mendapat Ijazah Sarjana dan lima orang berjaya menamatkan pengajian masing-masing dengan Ijazah Sarjana Muda.

Kakitangan yang bergraduasi itu adalah terdiri dari sembilan orang berjawatan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 dan keatas) serta lima orang yang berjawatan dari Kumpulan Pelaksana dan Sokongan (Gred 40 kebawah).

Staf bukan akademik yang kini bertaraf siswazah ini majoritinya adalah bertugas di kampus Johor Bahru dengan seramai 12 orang dicatatkan sementara dua orang pula adalah bertugas di kampus Kuala Lumpur.

Bagi menggalakkan kakitangannya menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi, UTM juga telah menaja pengajian dua orang kakitangannya.

Kakitangan itu ialah Suhee Tan Hasan yang kini bertugas sebagai Penolong Jurutera (J29) di Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (SKT) dan juga Arith Hyder Nasim Azmi yang menjawat jawatan sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N19 di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Keduanya telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing di peringkat ijazah sarjana muda di mana Suhee Tan berjaya memperolehi Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) manakala Arith Hyder pula dikurniakan dengan Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer).

Lebih manis juga, seorang Pegawai Penyelidik daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Dr. Myzairah binti Hamdzah telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Kimia).

Adalah diharapkan semoga kejayaan semua kakitangan PPP ini menjadi inspirasi dan pendorong bagi semua kakitangan bukan akademik UTM untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Tahniah diucapkan di atas kecemerlangan anda!

Graduan staf Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana (PPP) UTM yang berjaya menamatkan pengajian dan mendapat ijazah masing-masing di MK-61 universiti itu bergambar kenangan bersama Pemangku Pendaftar, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Explore More