Oktober 15, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 12 Nov. – Hanya kesedihan yang mampu dizahirkan oleh seorang ibu tatkala menerima diploma milik Allahyarham anaknya sempena istiadat Konvokesyen ke-61 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Nuraihan Khairudin ditemani anak keduanya, Ahmad Dzafaran Mohamad Bustamam, 20, hadir mewakili Allahyarham Ahmad Idham Mohamad Bustaman yang meraih Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik).

Menurut Nuraihan, anak pertama daripada empat beradik itu meninggal dunia dalam tidur pada 31 Disember 2017 di rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor pada usia yang amat muda iaitu 21 tahun.

“Allahyarham sedang menjalani sesi Latihan Industri ketika itu. Dalam usia yang begitu muda serta bebas dari sebarang penyakit, beliau pergi selama-lamanya meninggalkan saya dan tiga adiknya.

“Tiada ungkapan lain yang mampu digambarkan, selain bangga dan terharu dengan pencapaian Allahyarham Ahmad Idham apabila berjaya menghabiskan pengajiannya,” katanya dalam nada sedih.

Nuraihan berkata Ahmad Idham memang meminati bidang teknikal sejak dari sekolah menengah dan mengambil jurusan Sains Teknikal di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping, Perak.

“Sejak dari zaman sekolah menengah lagi arwah dah buktikan kebolehan dia dalam bidang teknikal apabila kerap memperoleh keputusan peperiksaan yang baik. Allahyarham juga dikenali sebagai seorang yang suka bersaing di kalangan adik beradiknya terutamanya dengan adik keduanya, Ahmad Dzafaran.

“Namun, Allah swt lebih menyayanginya, dia pergi tanpa sempat hadir pada majlis ini bagi membuktikan bahawa minatnya yang mendalam dalam bidang teknikal telah menjadi simbol kejayaan buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, diploma tersebut telah disampaikan dalam sidang khas oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar pada sesi kelima majlis Konvokesyen ke-61 universiti itu pada sidang kelima petang semalam.

Menurut Nuraihan lagi, mereka sekeluarga amat terkesan dengan pemergiannya memandangkan beliau adalah anak sulung yang menjadi contoh dan harapan kepada keluarga dan juga sebagai tiang seri keluarga selepas kematian bapanya, Ahmad Bustaman pada tahun 2015.

Tambahnya kini, hanya diploma itu sahaja menjadi pengganti diri dan pengubat rindu terhadap Allahyarham yang berjaya membuktikan pencapaian terbaik dalam bidang akademik buat kali terakhir sepanjang hayatnya.

Nuraihan dan allahyarham suaminya berkhidmat sebagai peguam dan memberikan khidmat guaman mereka melalui firma masing-masing bertempat di Petaling Jaya, Selangor.

Sebagai menerusnya legasi allahyarham abang sulungnya, Ahmad Dzafaran juga sedang mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal di Southhampton University, kampus Iskandar Puteri, Johor.

Ahmad Dzafaran (dua kiri) menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal mewakili allahyarham abang sulunya, Ahmad Idham Mohamad Bustaman daripada Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam sidang khas di Majlis Konvokesyen UTM ke-61 di kampus Johor Bahru semalam. Turut hadir adalah ibunya, Nuraihan Khairuddin (paling kanan).

Explore More