November 22, 2024

Search
Close this search box.

DYMM Raja Zarith Sofiah Lancarkan Buku “Eco-Shift” Karya Dato’ Seri Zaini Ujang

KUALA LUMPUR, 15 Nov. – Didorong daripada inisiatif untuk menyebarluaskan konsep perubahan yang mengambil kira persekitaran, tabiat, tingkah laku dan sikap manusia, sebuah buku berjudul ECO-SHIFT: Holistic Transformation Towards Environmental Sustainability dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor pada satu majlis yang diadakan di Grand Banquet Hall, Residensi UTM Kuala Lumpur hari ini.

Karya yang dihasilkan oleh Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ini diterbitkan secara bersama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Unit Endowmen dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM; Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) – wakil rasmi Naib Canselor UTM,  Encik Sakri Abdullah, Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Pengurusan UTM, pihak korporat dan tetamu jemputan.

ECO-SHIFT – Transformasi Holistik ke Arah Kelestarian Alam Sekitar

“Eco-shift” merupakan perubahan radikal yang berlaku melibatkan transformasi cara berfikir, membuat keputusan, amalan dan gaya hidup individu yang secara proaktif boleh menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Dalam sesebuah komuniti atau perbadanan, “eco-shift” merupakan transformasi holistik sesuatu entiti dalam falsafah, dasar, strategi, tadbir urus, membuat keputusan, keupayaan kewangan, teknikal, prosedur operasi standard dan amalan untuk kelestarian alam sekitar.

“Eco-shift” bermula dengan keadaan minda dan rangka kerja keputusan yang boleh membawa kepada perubahan besar dalam dasar negara, strategi korporat, gaya hidup dan perubahan budaya.

Buku ini merungkai dengan lebih terperinci mengenai perubahan yang merangkumi sikap, tabiat, tingkah laku dan transformasi budaya ke arah pembangunan lestari dan mesra alam.

Melalui buku ini, penulisnya, Zaini Ujang telah mengumpul dan berkongsi seberapa banyak ringkasan pengalaman serta contoh-contoh berdasarkan pemahaman beliau mengenai topik ini berdasarkan perjalanan peribadi, pemerhatian, refleksi, pendedahan serta kerja lapangan yang beliau jalani dan sertai sepanjang penglibatan sebagai ahli akademik dan warga kementerian.

Buku setebal 218 halaman ini dibahagikan kepada lapan bab yang antara lainnya membincangkan maksud, kepentingan dan pelaksanaan “eco-shift” dan penglibatan umum dalam perubahan ini. Selain itu, penulisan dalam buku ini turut mengupas mengenai “eco-shift” daripada perspektif individu, badan korporat dan kerajaan untuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai konsep dan apa yang boleh dilakukan untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan persekitaran umum.

Sebegai penerbit, ITBM mengambil inisiatif dan tanggungjawab menerbitkan buku ini dengan tujuan supaya perkongsian serta huraian maklumat dalam buku ini dapat menjadi rujukan, paduan dan dorongan kepada pembaca untuk melihat perubahan sekitar kehidupan dalam konteks lebih besar dan mendalam.

Penerbitan buku ini juga merupakan antara usaha ITBM memperbanyakkan bahan bacaan ilmiah untuk rujukan dan pasaran tempatan mahupun antarabangsa, selain menyemarakkan Dekad Membaca Kebangsaan serta menyahut seruan kempen kerajaan melalui tanda pagar Malaysia Membaca (#MalaysiaMembaca).

Penerbitan buku ini antaranya turut selari dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia pada tahun 2020 selain diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat untuk menjalani kehidupan dalam persekitaran yang lebih sihat dan baik pada masa hadapan.

Hasil Jualan untuk Tabung Endowmen UTM

Buku ini dijual pada harga RM120.00 senaskah.

Menurut Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon, penerbitan buku ini merupakan salah satu usaha Unit Endowmen UTM mengumpulkan dana Tabung Endowmen UTM untuk membantu pelajar UTM yang memerlukan bantuan kewangan dalam mengikuti pengajian di UTM.

Pada masa ini, jumlah pelajar UTM yang memerlukan bantuan kewangan adalah besar dengan mengambil kira lebih 50 peratus pelajar UTM adalah datang daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).

Sejak diwujudkan pada tahun 2009 hingga 2018, Tabung Endowmen UTM telah mengeluarkan dana sumbangan sebanyak RM20 juta kepada hampir 700 orang pelajar dari pelbagai peringkat pengajian, fakulti dan kaum, sama ada dalam bentuk biasiswa ataupun bantuan kewangan untuk membeli keperluan harian.

Sebahagian besar hasil jualan buku ini akan disalurkan terus ke Tabung Endowmen UTM, daripada penerbitan buku Eco-Shift ini diharap dapat menjana dana Tabung Endowmen UTM sebanyak RM1 juta.

Explore More