Disember 22, 2024

Budaya Membaca Bagi Kukuhkan Pengetahuan Warga UTM

JOHOR BAHRU, 4 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memulakan langkah Mengamalkan Budaya Membaca bagi memperkasakan pengetahuan di kalangan kakitangan dan mahasiswanya.

Aktiviti ini dilakukan agar warga universiti itu sentiasa berada dalam keadaan yang berpengetahuan dan sentiasa ‘kemaskini’ dengan perkembangan semasa.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata usaha ini perlu dilakukan memandangkan membaca adalah ‘jambatan ilmu’.

“Usaha ini juga adalah bagi menyokong Kempen Galakan Membaca anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di peringkat universiti yang dikenali sebagai Read@Uni dengan slogan “With knowledge We lead’.

“Membaca adalah suatu kemahiran yang diperlukan oleh setiap manusia kerana inilah kunci kepada semua dasar ilmu pengetahuan sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Alaq ayat 1-5,” katanya.

Menurutnya lagi, ayat ini dengan jelasnya menunjukkan bagaimana Allah s.w.t. mengutamakan kewajipan membaca kepada hamba-Nya kerana dengan membaca setiap manusia dapat memahami dan mempelajari sesuatu yang tidak diketahuinya.

Rentetan dari itu, Jabatan Canseleri telah pun mengambil beberapa langkah bagi menjayakan kempen anjuran KPM ini.

Pengarah jabatan Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Madya Dr. Zaleha Abdullah, sesi perkongsian buku yang telah dibaca telah dijalankan ketika sesi ‘Happy Cheerful Programme’ atau HCP yang dijalankan pada setiap hari Ahad setiap minggu.

“Dalam sesi perkongsian ini, beberapa orang staf yang bernaung di bawah beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ), Jabatan Canseleri telah dipilih bagi berkongsi sinopsis mengenai buku yang telah dibaca.

“Seramai empat orang staf dari Pejabat Penasihat Undang-Undang, Unit Pengurusan Risiko dan Kualiti (QriM), UTM International dan Pusat Islam telah pun berkongsi mengenai ringkasan buku masing-masing pada perhimpunan HCP yang berlangsung pada 4 November 2018,” katanya.

Menurutnya lagi, satu lagi program perkongsian buku telah diadakan di lobi Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) selepas sesi program HCP itu selesai.

“Kami juga telah menjalankan sesi perkongsian buku di lobi bangunan Canseleri Sultan Ibrahim di mana perkongsian mengenai sinopsis buku dijalankan dalam suasana yang lebih santai,” katanya.

Dr. Zaleha berkata bahawa PTJ di bawah seliaanya itu akan mengambil beberapa langkah bagi menyemarakkan budaya membaca di kalangan staf UTM yang bertugas di bangunan pentadbiran utama itu.

“Kami akan memperkemaskan rak bacaan ‘UTM Reading Station’ yang diletakkan di bahagian lobi BCSI termasuk mengerah beberapa orang staf untuk menjalankan pemeriksaan bahan bacaan yang dipamerkan secara mingguan bagi memastikan hanya bahan berkualiti yang dipamerkan.

“HEK juga akan memperkemaskan beberapa kemudahan membaca di sekitar UTM Reading Station tersebut bagi tujuan keselesaan pembacaan staf yang berminat,” katanya lagi.

 Pn. Ida Shazreen Omar dari Unit Undang-Undang UTM ketika sesi perkongsian buku yang telah dibaca.
Prof. Madya Dr. Zaleha Abdullah (dua kanan) menyerahkan hadiah kepada Pn. Hazila Rahmat dari Pejabat Naib Canselor. Beliau muncul sebagai peserta terbaik bagi sesi perkongsian buku peringkat Jabatan Canseleri.

Menariknya juga pada hari yang sama, program Read & Relax Spot (R&R) telah diadakan di bawah seliaan Timbalan Pendaftar, Seksyen Pembangunan Bakat, Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Puan Norizan Salleh.

Program yang merupakan cetusan idea Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar tersebut merupakan kesinambungan daripada penganjuran WOW Carnival@UTM Library yang dilancarkan pada 29 Oktober sebelum ini.

Datuk Wahid berkata, tabiat membaca seharusnya dijadikan amalan sepanjang hayat. Oleh itu sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi, UTM menggalas tanggungjawab dalam menyokong usaha Kementerian Pendidikan yang mensasarkan Malaysia sebagai negara paling banyak membaca pada tahun 2030.

Program (R&R) tersebut adalah untuk menyemarakkan budaya perkongsian ilmu melalui sesi “book sharing”.

Program yang pertama kali dianjurkan itu disertai oleh 10 kakitangan UTM daripada pelbagai jabatan, dan telah diadakan di foyer Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM kampus Johor Bahru.

Puan Norizan Salleh

Explore More