April 19, 2024

Search
Close this search box.

Anak Angkat Dari UTM Jayakan Rejuvinasi Pangsapuri Bandar Bukit Puchong

BUKIT PUCHONG, 4 Nov. – Seramai 40 orang pelajar Sarjana Muda Sains Pembinaan dan Sarjana Muda Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjayakan Program Anak Angkat dan Khidmat Komuniti selama 3 hari 2 malam di Pangsapuri Bukit Puchong.

Program khidmat komuniti ini adalah sebahagian daripada usaha ukhuwah dan perpindahan teknologi serta ilmu, untuk transformasi komuniti berpendapatan rendah dalam membina kejiranan berkualiti.

Ini merupakan salah satu pengisian Program Rejuvinasi Pangsapuri Bandar Bukit Puchong yang dilancarkan pada 30 Jun 2018, menerusi usaha sama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Institut Sultan Iskandar (ISI), UTM dan penduduk.

Susulan daripada membina laman edibel dan mengecat pangsapuri pada 7 Oktober yang lalu, penduduk sekali lagi mengalu-alukan kehadiran mahasiswa ini sebagai anak angkat.

Kali ini mahasiswa datang dengan program khidmat motivasi mentor mentee, serta program pemindahan teknologi, antaranya bengkel rekabentuk grafik, bengkel perabut kayu palet, bengkel seni mural, dan bengkel pertanian moden.

Seramai 20 keluarga angkat telah mengikuti program pada kali ini yang berlangsung selama 3 hari 2 malam, bermula Jumaat lalu.

Prof. Madya Dr. Gurupiah Mursib dari Institut Sultan Iskandar UTM berkata, pelaksanaan Program Rejuvinasi ini telah pun bermula seawal Mei 2018 menerusi aktiviti-aktiviti bersama penduduk setempat.

Beliau yang merupakan Ketua Program Rejuvinasi Pangsapuri Bandar Bukit Puchong berucap bagi menyempurnakan Majlis Penutup Program pada petang itu dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang-pemenang bagi setiap kategori perlawanan yang dipertandingkan sepanjang program berlangsung.

Permainan rakyat seperti bowling buah kelapa, batu seremban dan jengga adalah antara perlawanan yang diadakan selain daripada perlawanan bola sepak. Tidak ketinggalan aktiviti santai menonton wayang pacak sebagai aktiviti santai anak-anak angkat bersama keluarga angkat masing-masing.

“Sesungguhnya apa yang kita laksanakan di blok C adalah Projek Pilot yang menjadi contoh kepada penduduk blok lain untuk meningkatkan blok masing-masing.

Selama lapan bulan kami di sini, kami memindahkan pengetahuan, dan kaedah untuk projek kemudiannya dilaksanakan oleh penduduk sendiri untuk kesemua blok.

Dalam tempoh selama lapan bulan, ISI UTM dan MPSJ telah memindahkan kaedah, teknologi dan pengetahuan kepada penduduk untuk bergerak secara kendiri.”

Beliau meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada seluruh warga pangsapuri 560 Bandar Bukit Puchong agar terus bersatu dan berdaya maju dalam memastikan kejayaan dan kelangsungan program ini. Beliau menyatakan inilah satu aspek mampan Program Rejuvinasi yang kini diletakkan sebagai projek rujukan berimpak tinggi untuk diterapkan di perumahan lain oleh MPSJ.

Tidak pernah putus melahirkan rasa gembira di atas kerjasama semua pihak, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada ADUN Sri Serdang, YB Dr. Siti Mariah di atas pemberian dana program berkenaan. Yang Berhormat telah hadir pada sesi ramah mesra bersama penduduk setempat  dan lawatan ke tapak projek.

 

YB Dr. Siti Mariah dalam lawatan beliau ke tapak projek bagi menyaksikan hasil kreativiti pelajar dan penduduk

Encik Khairul Azri sekeluarga merupakan salah satu daripada 20 buah keluarga yang menjadi keluarga angkat kepada mahasiswa UTM yang menyambut baik usahasama MPSJ dan ISI UTM menerusi projek pilot ini.

Beliau melahirkan rasa bangga apabila melihat hasil perkongsian ilmu dan kreativiti dari anak-anak angkat di dalam bengkel perabot kayu palet, pertanian moden, seni mural dan grafik telah berjaya diterjemahkan dengan baik sekali di setiap sudut blok-blok pangsapuri tersebut oleh warganya.

Sama seperti penduduk yang lain, Encik Nor Azmi juga berasa amat teruja apabila melihat hasil kerjasama mereka bersama membuahkan hasil yang membanggakan. Beliau selaku Pengerusi Perbadanan Pengurusan Flat Bandar Bukit Puchong mengucapkan syukur dan terima kasih kepada pihak yang terlibat khususnya UTM dan MPSJ.

Beliau turut mengalu-alukan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Perabut kayu palet yang dihasilkan hasil dari kerjasama bengkel
YB Dr Siti Mariah dan Prof Madya Dr Gurupiah bergambar di sudut kreatif yang penduduk hasilkan.
Mahasiswa dan keluarga angkat merakam gambar kenangan di hadapan dinding mural bersama-sama hasil pertukangan kayu palet.
Barisan pemain-pemain bola sepak bagi perlawanan persahabatan UTM-BP

Sementara itu, wakil keseluruhan penduduk setempat, Siti Hajar berkata “Program ini benar-benar telah berjaya mentransformasikan ruang kejiranan ini yang dahulunya dilihat kosong tanpa warna-warna ceria di tiang-tiang dan dinding-dinding. Sekarang setiap blok kelihatan ceria dengan hasil seni mural, perabot palet dan tanaman hijau”.

Sudah tentu kejayaan program ini menjadi inspirasi kepada mereka untuk terus bermuafakat di dalam setiap aktiviti kemasyarakatan yang akan diadakan kelak.

Tidak ketinggalan juga penggerak utama program anak angkat dan khidmat komuniti ini; Dr Syamsul Hendra berkata hasrat dan usaha mereka daripada pihak universiti tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat daripada penduduk setempat yang bertungkus lumus menjayakan program.

“Penduduk tidak henti-henti menyediakan juadah yang enak kepada pihak kami menjadi punca kekalahan kami dalam perlawanan bola sepak persahabatan semalam” beliau berseloroh semasa mengakhiri ucapan.

Semua yang hadir pada majlis petang itu terhibur mendengar ucapan beliau dan bersorak kuat apabila menyaksikan semula detik-detik jaringan bola menerusi tayangan rakaman perlawanan bola sepak persahabatan UTM-BP yang berlangsung petang kelmarin.

Program Hari terakhir bagi Program Anak Angkat dan Khidmat Komuniti Pangsapuri 560 Bandar Bukit Puchong berlangsung dengan begitu meriah sekali. Kehadiran anak-anak penduduk setempat di padang permainan menceriakan para siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang akan pulang ke Johor Bahru pada petang itu.

Explore More