April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Okt. – Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSA) dan Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid telah menganjurkan Program Ziarah Mahabbah dan Fiqh Solat serta Wuduk Pesakit.

Program tersebut telah melibatkan kira-kira 50 kakitangan dan mahasiswa UTM serta orang perseorangan dari luar universiti dan juga seramai 110 pesakit di Wad Ortopedik HSA.

Penyelaras Program, Rahmawatulhusna Sokhipul Hadi berkata program ini adalah yang julung kali pernah dianjurkan oleh Pusat Islam UTM dalam menabur bakti kepada masyarakat luar kampus.

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah bagi membantu pihak hospital dalam merealisasikan hasrat mereka untuk menjadi hospital yang mesra ibadah.

“Ini amat penting kerana tanggungjawap menjaga ibadah golongan ini adalah jatuh kepada bahu orang yang menjaga mereka seperti jururawat dan doktor dan amat penting bagi penjaga ini menguasai kemahiran menjaga orang-orang sakit seperti ini,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah memberikan tunjuk ajar kepada pesakit dan juga kakitangan hospital untuk mengambil wudhu (air sembahyang) bagi pesakit yang mengalami sakit kulit ataupun yang bersimen.

“Bagi pesakit yang mengalami anggota badan yang bersimen dan juga berbalut adalah memadai dengan disapukan air pada bahagian anggota yang disyaratkan. Bagi yang mengalami masalah kulit yang sensitif pula boleh mengambil wudhu dengan pasir yang disediakan.

“Pesakit juga ditunjukkan mengenai cara bersolat mengikut kemampuan masing-masing ketika sakit supaya tanggungjawap kepada Allah swt tidak diabaikan walaupun ketika sakit,” katanya.

Kakitangan hospital turut juga mendapat bimbingan mengenai cara-cara membantu pesakit mengambil wudhu di samping bersolat bagi orang yang uzur bagi memudahkan mereka menjalankan tugas sekiranya keadaan memerlukan.

Rahmawatulhusna berkata setiap petugas terlibat dalam program ini dikehendaki mengikuti kursus secara teori satu hari sebelum acara bermula.

“Kesemua mereka telah diberikan bimbingan intensif oleh Pegawai Agama HSA, Ustaz Amiruddin Ahmad di Masjid Sultan Ismail (MSI) UTM Johor Bahru sehari sebelum program bermula.

“Ini bagi memudahkan mereka menunjuk ajar pesakit dan juga petugas hospital di samping memperkasakan kemahiran diri sendiri,” katanya.

Para petugas juga mengagihkan ‘Goodies Bag’ yang mengandungi set penyembur air dan juga serbuk tanah bagi tujuan berwudhu dan juga bertayammum (bagi pesakit beragama Islam) serta beg berisi buah-buahan bagi pesakit bukan Islam.

Pegawai Agama HSAJB, Ust. Amiruddin Ahmad (dua kiri) bertanyakan khabar kepada salah seorang pesakit.
Petugas Program Ziarah Mahabbah sedang menunjuk ajar seorang pesakit mengenai cara berwuduk ketika sakit.
Para Peserta Program Ziarah Mahabbah UTM dan juga petugas HSAJB bergambar kenangan di Wad Ortopedik, HSAJB pada hari akhir program.

Explore More