Perpustakaan UTM Anjur WOW Carnival Tingkat Kesedaran Membaca

JOHOR BAHRU, 29 Okt – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan WOW Carnival@UTM Library bagi meningkatkan kesedaran membaca dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekitar.

Program WOW Carnival ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam sebuah majlis ringkas yang berlangsung di lobi Perpustakaan UTM lewat petang tadi.

Penasihat Program merangkap Ketua Puskatakawan UTM, Noraziah Sharuddin berkata penganjuran karnival ini adalah inisiatif Perpustakaan UTM bagi memupuk semangat membaca di kalangan warga kampus dan juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Selain mempromosikan perkhidmatan perpustakaan UTM kepada warga kampus dan sekitarnya, program sebegini akan membantu dalam melahirkan masyarakat minda kelas pertama melalui pembacaan bahan rujukan yang berkualiti.

“Pelbagai pengisian aktiviti telah dirancang dan bakal memikat para pengunjung yang disasarkan terdiri daripada warga UTM dan pelajar sekolah dari sekitar negeri Johor,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran itu.

Turut hadir di majlis pelancaran itu adalah Pro-Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Shahrin Mohammed dan juga Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Madya Dr. Zaleha Abdullah.

Antara pengisian program yang bakal berlangsung adalah seperti pameran buku dan jualan, sesi bersama penulis, Sesi Ulasan Buku Read&Relax, Pertandingan Melukis Doodle dengan tema Read@UTM & # malaysiamembaca, Research Canvas Competition (serlah kreativiti dalam penghasilan penyelidikan), InfoRace Challenge (pertandingan pencarian maklumat) dan Publication Talk With Science.

“Perpustakaan UTM turut menganjurkan Pertandingan Go Green@Mini Home Library Competition iaitu pertandingan mereka bentuk perpustakaan mini untuk para pelajar sekolah menengah sekitar Johor Bahru dan Kulai.

“Bagi menimbulkan minat pelajar sekolah terhadap kerjaya sebagai Pustakawan secara mendalam, pihak kami telah menganjurkan bengkel The Young School Librarian yang matlamat utamanya iaitu memberikan kefahaman dan gambaran sebenar tugas Pustakawan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Wahid dalam ucapan perasmian berkata, tabiat membaca seharusnya dijadikan amalan sepanjang hayat.

Hasil kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia 2014, menunjukkan secara keseluruhannya rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 naskhah buku setahun. Ini satu peningkatan dari kajian tahun 2006 yang mencatatkan hanya 2 buah buku sahaja.

Malaysia juga telah diiktiraf sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan ‘KL Baca – Caring Through Reading’ daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Oleh itu sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi, UTM menggalas tanggungjawab dalam menyokong usaha Kementerian Pendidikan yang mensasarkan Malaysia sebagai negara paling banyak membaca pada tahun 2030.

Justeru, aktiviti penggiatan budaya membaca akan terus dilaksanakan di Universiti Awam termasuk UTM.” tambah beliau.

Beliau juga percaya program yang diadakan oleh Perpustakaan UTM ini menunjukkan kesungguhan Perpustakaan UTM di dalam menyemarakkan inisiatif kempen membaca dengan menyediakan pelbagai aktiviti kepada khalayak UTM dan masyarakat sekitar.

Sesi bergambar bersama peserta aktiviti WOW Carnival@UTM Library
Datuk Wahid (berbaju putih) ketika mengunjungi salah sebuah dari gerai pameran pertandingan Mini Home Library Competition di Perpustakaan UTM selepas merasmikan program itu.