PUCHONG, 7 Okt. – Kerjasama yang padu antara Institut Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (ISIUTM), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan juga penduduk perumahan Kos Rendah Bukit Puchong telah menjayakan program Rejuvinasi Pangsapuri 560 Bukit Puchong.

Program ini merupakan satu usaha transformasi komuniti berpendapatan rendah untuk membina ruang kejiranan berkualiti menerusi perancangan inklusif yang melibat seluruh warga komunitinya.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Gurupiah Mursib berkata program rejuvenasi ini membawa kepada ‘pemberdayaan komuniti’ (community empowerment) yang melahirkan masyarakat baharu yang berdaya kendiri dalam membangunkan rancangan kejiranan mereka.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Program Rejuvinasi Pengsapuri 560 di kawasan perumahan kos rendah Bukit Puchong. Program telah dirasmikan oleh Yang Dipertua MPSJ, Hjh. Noraini Roslan.

“Projek ini telah dirasmikan pada 30 Jun 2018 manakala perasmian pembinaan adalah pada 7 Oktober 2018. Rejuvinasi fizikal kejiranan ini bakal dimulakan dengan Laman Edible dan diikuti dengan membina ruang serba guna blok C.

“Perancangan projek ini dilaksanakan secara bersepadu dengan melibatkan komuniti untuk menimbulkan rasa pemilikan dan kepentingan bersama. Perlaksanaan aktiviti pengukuhan komuniti yang berlangsung selama lima bulan telah mengukuhkan semangat kerjasama antara penduduk,” katanya.

Jawatakuasa penduduk juga dibawa melawat ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),Pasir Gudang, UTM dan Singapura bagi menimba ilmu mengenai aktiviti rejunivasi ini.

“Program ini juga mendapat sokongan beberapa rakan sinergi yang terdiri dari perumahan Bukit Puchong, Bukit Hitam Development, Jabatan Pertanian Johor, Perniagaan Mohint Sdn. Bhd dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Yang Berhormat (YB) Dr. Siti Mariah Mahmud.

“Pemaju Bukit Hitam Development membiayai kos pembinaan laman edibel dan Jabatan Pertanian Johor dan Perniagaan Mohint telah menyumbangkan 40 batang anak pokok kelapa mata S2,” katanya.

YB Dr. Siti Mariah pula memperuntukkan dana Program membasmi denggi serta dana program anak angkat untuk membina perabut palet yang bakal berlangsung pada bulan November 2018 kelak.

Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rasidi, pakar perunding Khidmat Masyarakat UTM mengatakan ini merupakan satu projek komuniti yang sangat komprehensif. Projek rintis ini diharapkan dapat dijadikan contoh kepada semua pangsapuri lain di bawah penyeliaan MPSJ.

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif ISIUTM, Prof. Dr Syed Ahmad Iskandar, Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof. Dr. Mohd Hamdan Haji Ahmad, Timbalan Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM, Ramona Abd Rahim, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Bukit Puchong, Nor Azmi Ibrahim dan Ahli Majlis Zon 17, Thomas Low Yew Sin.

Seramai 38 orang pelajar dari Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM di bawah kelolaan Dr Syamsul Hendra Mahmud juga telah didatangkan khas dari Skudai bagi menjadi anak angkat pangsapuri ini serta membantu melaksanakan khidmat masyarakat di sana.

MPSJ meletakkan sasaran projek impak tinggi untuk menjadikan program ini rujukan kepada pembangunan yang akan datang. Faedah dari aktiviti ini dijangkan memberikan manfaat kepada seramai 560 orang penghuni pangsapuri berkenaan.

Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof. Hamdan Hj. Ahmad (dua kiri) mengecat bangunan pangsapuri Bukit Puchong sebagai simbolik pelancaran program ini.