Disember 19, 2024

JOHOR BAHRU – Seramai 3,944 mahasiswa baru peringkat Sarjana Muda telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi sesi pengajian 2018/2019.
Jumlah tersebut merangkumi 544 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara seperti Indonesia, Yemen, Arab Saudi, United Kingdom, Jerman dan Kanada. Seramai 277 orang juga telah mendaftar di kampus Kuala Lumpur manakala selebihnya di kampus induk di Johor Bahru.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata kesemua mahasiswa baharu ini akan mengikuti Program Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) yang akan berlangsung dari 3 hingga 7 September 2018.
“Program yang berkonsepkan pemantapan pengalaman mahasiswa dalam kampus (UTM Life- Changing Experience) ini merangkumi Perasmian oleh Pro-Canselor, Sesi Ikrar Mahasiwa, Bersama Ikon, Sesi bersama Polis DiRaja Malaysia (High Profile Policing) dan Ketua Polis Johor.
“Mereka juga akan melalui aktiviti Karnival Sukan dan Larian serta malam kemuncak UTM Got Talent yang bakal menampilkan persembahan budaya dari pelbagai negara,” ujar Prof. Durrishah lagi.
Prof. Durrishah berkata demikian ketika bercakap dalam sidang media di Kolej Tun Dr. Ismail selepas memberikan taklimat kepada ibubapa pelajar baru di kolej kediaman tersebut. Turut hadir adalah Pemangku Pendaftar, En. Abdul Razib Hj. Shahuddin.
Melalui pelbagai program yang diadakan sepanjang MMM sesi 2018/2019 ini, mahasiswa akan berpeluang untuk mendapat pendedahan terhadap program-program pengantarabangsaan, keusahawanan dan pelestarian bagi menghasilkan mahasiswa yang mempunyai ciri bakat global (Global Talent), minda kelas pertama dan bersifat seimbang.
“Golongan ini juga akan dididik mengenai gaya hidup lestari melalui perlaksanaan aktiviti pengasingan sisa pepejal di sepanjang program yang mereka lalui.
“Penyertaan bersama mahasiswa antarabangsa di sepanjang program ini juga bakal menekankan tema meraikan kepelbagaian dan saling mengenali keunikan perbezaan budaya yang akhirnya bakal menjadi aset utama kekuatan UTM,” katanya.
Bercakap mengenai kemudahan infrastruktur dan sistem sokongan mahasiswa, Prof. Durrishah berkata sebanyak RM 50 juta telah dibelanjakan sepanjang tahun 2018 bagi kerja-kerja baikpulih bangunan fakulti dan asrama, kemudahan internet serta pelbagai kemudahan lain.
“Kerja pembaikan ini bertujuan bagi memastikan keselesaan mahasiswa bagi menjalani pembelajaran dalam suasana kondusif, selamat dan sihat,” katanya.
Menurut Prof. Durrishah lagi, UTM juga menyediakan pelbagai sistem sokongan dan kebajikan kepada mahasiswanya seperti bantuan kewangan endowmen bagi membiayai yuran pengajian, insuran pelajar, dan bantuan makanan percuma (suspended meals) kepada golongan mahasiswa kurang mampu.
Mahasiswa juga menerima bantuan zakat, wakaf, bantuan pinjaman jangka pendek serta didedahkan kepada peluang menambah pendapatan melalui Skim ‘Job On Campus’ (JOC).

Prof. Durrishah (dua kiri) sedang bermesra dengan mahasiswa baru UTM sesi 2018/2019 di Kolej Tun Dr. Ismail

Explore More