Mei 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM, Institut Kimia Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia anjur K2J 2018

JOHOR BAHRU, 22 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Institut Kimia Malaysia Cawangan Selatan serta Jabatan Kimia Malaysia Negeri Johor dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah menganjurkan program Karnival Kimia Johor (K2J) 2018.

Program K2J ini adalah kelangsungan daripada program yang telah dilaksanakan bermula dari tahun 2011 yang telah dilaksanakan sempena Tahun Antarabangsa Kimia.

Penyelaras K2J 2018, Dr. Sheela Chandren dari Fakulti Sains (FS) UTM berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang karnival ini bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Antara aktiviti yang kami sediakan ialah syarahan sains, demonstrasi kimia interaktif, demonstrasi peniupan kaca, pameran inovasi kimia, pertunjukan sains serta pelbagai pertandingan yang melibatkan bidang kimia.

“Program karnival ini adalah bertujuan untuk memupuk minat dan pengetahuan pelajar terhadap sains khususnya kimia melalui kaedah pembelajaran yang menarik, kreatif dan praktikal,” katanya.

Dr. Sheela berkata kaedah pembelajaran luar kelas selain waktu pembelajaran rasmi seperti ini diharap dapat merangsang minda pelajar untuk terus meneroka bidang sains kimia.

“Program ini juga telah melibatkan pelajar yang mengikuti program khas Mentor-Mentee STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) peringkat negeri Johor.

“Program ini adalah inisiatif kerjasama antara JPNJ dan UTM dalam meningkatkan bilangan pelajar yang mengambil pengkhususan bidang sains,” katanya.

Satu sesi seminar mengenai keselamatan makmal juga akan diadakan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada guru dan pembantu makmal bagi persediaan melaksanakan amali sains di sekolah.

“Sesi pemberian Anugerah Guru Kimia Inovatif Johor juga telah diadakan bagi menghargai dan menggalakkan guru sains kimia menggunapakai kaedah inovatif sebagai teknik pengajaran dan pembelajaran mereka di sekolah,” katanya.

Dr. Sheela berkata adalah menjadi harapan penganjur supaya program ini dapat menepati sasarannya dalam memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap sains kimia serta mempromosikan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap bidang sains.

“Program ini juga berpotensi untuk mewujudkan budaya celik sains dan seterusnya mendorong minat pelajar untuk memilih bidang sains khususnya kimia sebagai kerjaya masa hadapan,” katanya.

Majlis perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, YB Tan Hong Pin. Dalam program tersebut, terdapat beberapa acara telah dipertandingkan dan sasaran ialah pelajar-pelajar sekolah.

Turut hadir ialah Pengerusi Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Selatan, Soh Song Chaw dan Timbalan Dekan FS UTM, Prof. Madya Dr. Zaiton binti Abdul Majid.

Senarai Pemenang Pertandingan Semasa Karnival Kimia Johor 2018

Explore More