UTM Harus Tingkat Penggunaan Tenaga Solar

JOHOR BAHRU, 15 Ogos – Penggunaan tenaga solar sebagai tenaga alternatif seharusnya ditingkatkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjayakan konsep kampus lestari secara sepenuhnya.

Bangunan EcoHome UTM pada waktu malam

 

Penyelidik Tenaga Alternatif dari Pusat Sistem Tenaga Elektrik, Sekolah Kejuruteraan Elektrik UTM, Prof. Madya Dr. Hasimah Abdul Rahman berkata bahawa penggunaan tenaga solar di UTM masih di tahap rendah dan perlu ditingkatkan.

“Secara teknikalnya paras penggunaan tenaga alternatif seperti solar di UTM masih rendah dengan kadar penggunaan tidak pun mencapai 10 peratus.

Panel solar di Perpustakaan Sultanah Zanariah (kini dikenali sebagai Perpustakaan UTM). Panel solar ini adalah antara projek terawal solar di UTM.

“Seharusnya kita memanfaatkan kedudukan demografi negara kita yang terletak di khatulistiwa dengan meningkatkan penggunaan tenaga alternatif seperti tenaga solar memandangkan kuasa yang diperolehi dari sinaran matahari ini juga berpotensi untuk membantu ke arah penjimatan tenaga elektrik yang lebih efektif serta mengurangkan pencemaran ,” katanya lagi.

Bercakap mengenai sejarah penggunaan tenaga solar di UTM, Dr. Hasimah berkata universiti ini telah memulakan langkah tersebut pada tahun 2007 dengan pemasangan panel solar berkapasiti terpasang 5kW di bumbung Perpustakaan Sultanah Zanariah (kini dikenali Perpustakaan UTM)

“Selain dari Perpustakaan UTM, penggunaan tenaga solar juga telah diperluaskan penggunaannya di beberapa buah Pusat Tanggungjawap (PTJ) yang lain seperti Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (dahulu dikenali sebagai Fakulti Kejuruteraan Tenaga) dan juga EcoHome.

Panel solar pada bumbung EcoHome UTM.

“Langkah permulaan telahpun kita ambil tetapi kadar penggunaan masih boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menghuraikan mengenai aspek teknikal penggunaan tenaga solar, Dr. Hasimah berkata secara ringkasnya foton melalui sinaran matahari akan diserap oleh panel solar yang merupakan bahan semikonduktor p-n di mana kebiasaannya dipasang di tempat tinggi tanpa sebarang gangguan serta halangan bayang-bayang.

“Seterusnya kuasa yang diserap adalah dalam bentuk arus terus (DC) akan disalurkan kepada alat penukar (converter/inverter) yang dipasang di bahagian dalam bangunan untuk ditukarkan kepada bentuk kuasa elektrik piawai, arus ulangalik (AC) yang digunakan dalam sistem grid sebelum boleh digunakan kepada peralatan rumah,” katanya.

Di sebalik keupayaannya untuk mengurangkan bil elektrik, terdapat juga beberapa faktor lain yang perlu diteliti oleh pengguna yang berminat untuk menggunakan tenaga alternatif ini.

 

“Faktor utama yang perlu diteliti adalah faktor geografi sesebuah negara itu. Contohnya cuaca panas lembab di Malaysia, jumlah maksima tenaga yang mampu diserap adalah hanya sekitar 60 peratus sahaja.

Bahagian dalam EcoHome UTM. Contoh penggunaan elektrik lestari berasaskan tenaga solar.

“Ini amat berbeza dengan negara di Timur Tengah yang mempunyai cuaca panas kering dan tahap kepanasan yang lebih tinggi dari Malaysia. Pada tahap ini, tenaga yang mempu diserap adalah pada kadar 80 hingga 90 peratus,” katanya.

 

Walaupun tenaga alternatif ini tidak membantu secara sepenuhnya namun penggunaannya dapat membantu pihak pengurusan universiti dan juga pihak kerajaan secara amnya dalam aspek penjimatan bil elektrik universiti serta mencapai visi universiti iaitu kampus lestari.

Prof. Madya Dr. Hasimah Abdul Rahman

“Adalah menjadi harapan saya untuk merealisasikan gagasan kampus lestari melalui penggunaan tenaga alternatif secara konsisten,” katanya.