April 27, 2024

Search
Close this search box.

Status Universiti Penyelidikan dan Kedudukan Baik jadi tarikan ke UTM

JOHOR BAHRU – Status sebagai Universiti Penyelidikan (Research University) dan juga kedudukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam sistem penarafan universiti antarabangsa menjadi tarikan utama beberapa orang mahasiswa memilih universiti ini bagi menyambung pengajian masing-masing.
Tidak dinafikan bahawa ‘jenama’ yang ditonjolkan UTM adalah amat berbeza dengan universiti lain dan seterusnya menjadi faktor penarik kepada mereka untuk memohon sebagai mahasiswa universiti ini.
Bagi Thilak a/l Sundaram yang terpilih mengikuti Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di UTM bagi sesi 2018/2019 berkata, faktor utama beliau memilih untuk belajar di sini adalah kerana jenama yang ditonjolkan oleh UTM.
“Saya merasakan amat yakin dengan UTM memandangkan ada kursus-kursus yang ditawarkan mendapat kedudukan (ranking) yang tinggi dalam sistem penarafan universiti antarabangsa.
“Ini amat jarang berlaku di kalangan Universiti Awam (UA) yang lain dan saya amat bangga kerana terpilih menjadi mahasiswa UTM,” katanya.
Anak kelahiran negeri Melaka ini juga berkata beliau akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang telah diberikan untuk menghabiskan pengajiannya dan seterusnya menjadi yang terbaik dalam bidang yang bakal diceburinya.
Faktor jenama unggul yang dipaparkan UTM itu turut juga dipersetujui oleh dua lagi rakan Thilak iaitu Tok Kai Xian dan juga Iman Izzaty Zamri.
Tok Kai Xian yang berasal dari Pontian, Johor ini juga melahirkan kesyukuran yang tinggi kerana terpilih menjadi mahasiswa di salah sebuah universiti terhebat Malaysia ini.
“Saya amat bersyukur kepada tuhan kerana mengurniakan saya peluang untuk menyambung pengajian di UTM.
“Sukar untuk menerima kenyataan yang saya telah pun diterima menjadi penuntut di salah sebuah universiti terhebat Malaysia ini. Oleh yang demikian, saya akan berusaha segigih mungkin bagi menjadi yang terbaik pernah dihasilkan oleh UTM,” katanya yang bakal mengikuti kursus Sarjana Muda Sains Komputer (Perisian Grafik dan Multimedia).
Bagi Iman Izzaty Zamri, selain tertarik dengan jenama dan juga status terkini UTM yang unggul di persada dunia, beliau juga ingin mengulangi sejarah yang pernah dicatatkan oleh bapa angkatnya.
“Bapa angkat saya, Nadzri Musidee pernah menuntut di UTM dan bergraduasi di sekitar tahun 1995 dengan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi). Darinya banyak maklumat yang saya perolehi tentang UTM dan itu juga telah menarik minat saya.
“Insyallah, saya akan berikhtiar sebaik yang boleh untuk menghabiskan pengajian saya ini. Jika diizinkan tuhan, saya juga berharap agar anak saya juga boleh menyambung pengajian di UTM suatu hari nanti,” katanya lagi.
Sebelum mendapat tawaran di UTM, Iman telah melanjutkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cawangan Pasir Gudang dan berjaya memperolehi Diploma dalam bidang Kejuruteraan Kualiti.

Dari kiri Thilak a/l Sundaram, Tok Kai Xian dan Iman Izzaty Zamri ketika sesi taklimat bersama ibubapa pelajar baharu UTM sesi 2018/2019 di KTDI.

Explore More