April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 30 Sept – Seramai lebih 300 mahasiswa termasuk dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dari 12 Universiti Awam (UA) seluruh negara telah menyertai Konvensyen Mahasiswa dan Mahasiswa OKU (SDADIC) 2018.

SDADIC 2018 yang dianjurkan kali kedua oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru selama tiga hari bermula 28 September 2018.

Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM, Hj. Dahari Derani berkata matlamat utama penganjuran konvensyen ini adalah untuk memupuk kesedaran awam berhubung kepentingan perkhidmatan dan kebajikan khususnya terhadap mahasiswa OKU.

“Program ini juga mampu untuk meningkatkan keupayaan dan keyakinan peserta dari aspek pergaulan, komunikasi dan daya kempimpinan mahasiswa dan juga mahasiswa OKU,” katanya.

Menurutnya lagi, penganjuran SDADIC 2018 ini secara jelasnya menzahirkan komitmen UTM dan juga KPM dalam meneruskan agenda kerajaan yang secara khusus ingin membina sahsiah mahasiswa dan mahasiswa OKU dalam pendidikan.

“Pihak UTM sentiasa bersedia untuk meneroka idea baharu bagi tujuan menambah baik keperluan khas golongan mahasiswa OKU,” katanya.

Beliau yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata demikian ketika acara penutup program berkenaan yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Turut hadir adalah Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi KPM, Tuan Haji Ahmad Fuad Mohd Nordin.

Antara aktiviti menarik di sepanjang SDADIC 2018 adalah penganjuran beberapa siri bengkel pembangunan kendiri yang dikendalikan oleh ahli akademik yang pakar dalam bidang masing-masing seperti Prof. Dr. Fauziah Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM).

Turut memberikan syarahan dalam bengkel adalah Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim dari Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Dr. Afendi Hashim dari Akademi Bahasa dan juga Dr. Zulfikar Ahmad dari Pusat Kaunseling UTM.

“Peserta juga berpeluang untuk mengikuti sesi khas perkongsian pengalaman penerima Anugerah Ikon OKU Kebangsaan 2016, Nur Ain Nabisya Azmi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).Hal Eh

“Acara Kemuncak SDADIC 2018 adalah Pertandingan 3 Minutes Idea yang memperlihatkan kehebatan mahasiswa UA dalam perkongsian idea bertemakan Inovasi dalam Revolusi Industri 4.0”,katanya.

Penganjuran SDADIC 2018 ini juga turut mendapat sokongan dari 30 mahasiswa UTM yang bertindak sebagai sukarelawan dan petugas di sepanjang penganjuran program ini.

Para peserta SDADIC 2018 bergambar beramai-ramai selepas majlis penutup program berkenaan yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Explore More