April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU – Golongan pentadbir mempunyai tanggungjawab yang cukup penting dalam memastikan perjalanan pentadbiran sesebuah organisasi itu berjalan sepertimana yang telah dirangkakan.
Ketiadaan golongan ini akan membuatkan perjalanan pentadbiran sesebuah organisasi itu tidak selicin yang diharapkan.
Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Wan Mohd. Zawawi Wan Abdul Rahman berkata dalam konteks universiti, pentadbir mempunyai empat tanggungjawab utama iaitu memberikan penasihatan mengenai pentadbiran, menguruskan pentadbiran universiti, berfungsi sebagai Pengurus sumber manusia,kewangan dan penyelidikan.
Beliau berkata demikian dalam sesi Amanat Khas sempena program Simposium Pentadbir 2018 yang berlangsung di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim pagi tadi. Datuk Wan Mohd. Zawawi akan bersara wajib pada awal September ini setelah berkhidmat selama 35 tahun dengan UTM.
Datuk Wan Zawawi juga menegaskan para pentadbir yang juga tergolong dalam kategori perkhidmatan Pengurusan, Profesional dan Pelaksana (PPP) perlu berpegang kepada empat teras iaitu Perlaksanaan (Execution), Keputusan (Result), Maklumbalas (Feedback) dan juga Pengiktirafan (Recognition).
“Ini dapat dilihat kerana sebagai pentadbir, kita perlu melaksanakan sesuatu tugasan itu ataupun menyampaikan kepada pegawai yang berada di bawah seliaan kita mengenai sesuatu tugasan yang perlu untuk dilaksanakan.
“Selepas melaksanakan tugasan, kita perlu untuk menilai keputusan yang terhasil ekoran perlaksanaan tadi dan mengambil langkah seterusnya bergantung kepada maklumbalas yang terhasil daripada keputusan tadi,” katanya.
Proses seterusnya adalah menerima pengiktirafan daripada kerja yang telah dilakukan. Ini adalah proses yang biasa dalam sesuatu pekerjaan tanpa mengira samada berada di apa pun gred dalam skim PPP.
Seminar ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman. Turut hadir adalah Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS), Azri Hohad.
Datuk Wan Mohd. Zawawi juga mencatatkan sejarah unik apabila diumumkan sebagai Pendaftar yang paling lama berkhidmat di kalangan semua Universiti Awam (UA). Beliau dilantik ke jawatan itu pada tahun 2004 dan kekal memegang jawatan itu sehingga ke tarikh persaraannya.

Wan Mohd. Zawawi (duduk dua dari kiri) bergambar kenangan dengan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman serta semua peserta Simposium Pentadbir 2018 yang berlangsung di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kampus Johor Bahru.

Explore More