April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU – Seramai 89 staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pelbagai peringkat jawatan telah menyertai program Kayuhan Merdeka – Sayangi Malaysiaku yang dianjurkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-61.
Program kayuhan bermula dari Laman Menanti Tasik UTM ini telah dilepaskan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan lokasi terakhirnya adalah di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Putri (MBIP).
Pengarah Program Faizal Latib berkata program anjuran Bahagian Keselamatan, Pejabat Pendaftar UTM ini dianjurkan bagi memupuk semangat patriotik di kalangan staf di pelbagai peringkat jawatan.
“Selain dari membawa mesej kelestarian dan juga gaya hidup sihat yang kini menjadi amalan UTM, kami juga cuba memberikan mesej bahawa hari kemerdekaan boleh disambut dengan aktiviti yang sihat dan juga dilakukan dengan mengikut lunas undang-undang.
“Ini bagi memberikan pengajaran kepada komuniti sekeliling bahawa aktiviti yang kurang selamat seperti berbasikal tanpa brek serta tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa adalah menyalahi undang-undang dan tidak sesuai dilakukan bagi menyambut hari kemerdekaan negara,” katanya.
Menurutnya lagi, perancangan asal bagi kayuhan ini adalah menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru dari Laman Menanti, UTM Johor Bahru tetapi tidak mendapat kelulusan daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Selain Dataran Johor Bahru, kami juga telah merancangkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar sebagai destinasi tetapi malangnya juga tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berharap agar penyertaan di kalangan staf dapat ditingkatkan pada tahun hadapan bagi memupuk lebih semangat kekitaan di kalangan kakitangan universiti itu. Konvoi kayuhan itu telah diketuai oleh Pengarah Keselamatan UTM, Abd Rahim Abd. Karim.

Prof. Azlan melancarkan konvoi Kayuhan Merdeka di Laman Menanti, UTM Johor Bahru.

Explore More