November 22, 2024

Search
Close this search box.

Wakaf UTM bakal terima sumbangan El Izzah Travel and Tours

JOHOR BAHRU, 9 Ogos 2018 – Pejabat Wakaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal menerima manfaat wang wakaf dari perniagaan mengerjakan umrah yang dijalankan oleh El Izzah Travel and Tours Sdn. Bhd.

Ini adalah disebabkan syarikat berkenaan telah bersetuju untuk mewakafkan sebanyak RM 50.00 bagi setiap pendaftaran untuk mengerjakan umrah melalui syarikatnya yang berpengkalan di Simpang Renggam, Johor.

Bercakap kepada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan El Izzah Travel and Tours Sdn. Bhd. di Scholar’s Inn, UTM Johor Bahru, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman berkata setiap sumbangan yang diterima akan dimasukkan ke dalam Dana Wakaf Pendidikan UTM bagi menjayakan berberapa aktiviti yang telah dirancang.

“Wang ini akan digunakan untuk tujuan pendidikan pelajar university dengan membina fasiliti termasuklah dewan kuliah, membayar kos pengajian pelajar, menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar dan juga untuk tujuan penyelidikan,” katanya.

Memorandum Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Hj. Azlan Abdul Rahman bagi pihak UTM dan juga Ketua Pegawai Eksekutif El Izzah Travel, Ustaz Ruhaizad Abdul Hamid.

“Pihak syarikat menawarkan pakej MAMPU UMRAH yang terdiri dari pilihan pakej ekonomi, pakej safwa dan pakej ajwa bermula dari serendah RM5,999.00

“Pada masa sama, para Jemaah umrah juga turut digalakkan untuk berwakaf dengan Dana WAkaf Pendidikan UTM dengan kadar minima RM10.00 dan tiada had maksima dikenakan,” kata Prof. Azlan.

Bagi menjayakan perjanjian perjanjian ini, para peserta yang mengikuti pakej umrah syarikat El Izzah akan dibawa melawat ke destinasi wakaf yang bersejarah di bumi Al-Haramaian iaitu di Mekah dan Madinah.

Ia juga turut membuka peluang kepada para penyelidik untuk melakukan kajian wakaf di bumi Al-Haramaian dalam kumpulan kecil yang lebih berfokus.

Prof. Azlan berkata perjanjian ini berikutan dari kejayaan pewakafan kenderaan yang telah dibuat sebelum ini oleh Yayasan Sayang Mutiara dari Mutiara Motor Sdn Bhd yang telah mewakafkan sebuah MPV Toyota Unser pada tahun 2017.

“Adalah diharapkan perjanjian ini akan membuka peluang kepada syarikat korporat yang lain dan masyarakat awam untuk turut sama berwakaf disamping memberikan kefahaman yang lebih jelas tentang peranan dan sumbangan wakaf bagi kemajuan manusia tanpa mengira agama dan bangsa,” jelasnya lagi.

Turut hadir adalah Pemangku Pengarah Dana Wakaf Pendidikan UTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Che Yaakob dan juga Ketua Pegawai Operasi El Izzah Travel and Tours Sdn. Bhd, Hajjah Norhafizah Jaafar.

Prof. Azlan Abdul Rahman (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif El Izzah Travel, Ustaz Ruhaizad Abdul Hamid di Scholar’s Inn, UTM Johor Bahru.

Explore More