April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM tandatangan MoU jalankan penyelidikan penilaian taksiran bangunan dengan teknologi Termografi Inframerah

JOHOR BAHRU, 29 Julai 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Andes Consultants Pte. Ltd. bagi menjalankan kerjasama penyelidikan program latihan penilaian menjalankan taksiran bangunan.

Memorandum berkenaan telah ditandatangani di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kampus Johor Bahru dengan UTM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Andes Consultants, Mr. Tong Kam Fei.
Mengulas mengenai memorandum berkenaan, Prof. Azlan yang ditemui selepas majlis menandatangani persefaham berkenaan berkata kerjasama ini bertujuan bagi mewujudkan hubungan yang strategik diantara pakar industri dan ahli akademik UTM.
“Kerjasama awal dengan syarikat dari Singapura itu akan melibatkan kerja-kerja penilaian keadaan bangunan di UTM menggunakan teknik Termografi Inframerah – IRT.

Mr. Tong Kam Fei (kiri) menerima cenderahati dari Prof. Azlan Abdul Rahman selepas majlis menandatangani MoU di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim UTM Johor Bahru.

“Teknologi IRT adalah satu alat pengukuran tanpa musnah yang terkenal dan boleh digunakan untuk mengesan masalah yang terdapat pada bangunan yang susah dilihat dengan mata kasar,” katanya.

Teknologi ini telah berkembang dalam tahun-tahun kebelakangan ini dengan berkembangnya teknologi sensor.
“Kerja penilaian keadaan bangunan ini melibatkan metodologi dan teknik untuk menentukan keadaan dan prestasi bangunan.
“Penilaian ini memperkenalkan maklumat yang tersembunyi tetapi penting kepada pemilik bangunan tujuan untuk penyelenggaraan bangunan. Maklumat ini penting untuk kerja baik pulih bangunan dan analisis pembaikan dan mengelakkan kegagalan struktur contohnya kejadian-kejadian pengelupasan konkrit atau kegagalan struktur bumbung sehingga mengakibatkan peristiwa runtuhan bangunan seperti yang dipaparkan di media,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan termeterinya perjanjian ini, UTM melalui Geoscience & Digital Earth Centre (INSTeG), sebuah pusat kemerlangan yang bernaung di bawah Research Institutes For Sustainable Environment akan menjalankan kerjasama dengan Andes bagi meningkatkan kemampuan penyelidik UTM dalam kerja penilaian keadaan bangunan.

Prof. Azlan juga menyatakan yang UTM mempunyai rancangan untuk memperluaskan penyelidikan yang berkaitan dengan penilaian keadaan bangunan di seluruh kampusnya pada masa hadapan.

“Melalui persefahaman ini, adalah diharapkan peranan UTM dalam memperkembangkan ilmu dan visibiliti di rantau Asia akan berterusan,” katanya.

Sementara itu Mr. Tong Kam Fei berkata Andes bersedia untuk bekerjasama dengan pihak UTM dalam mencari penyelesaian baru, metodologi, teknik dan lain-lain di bidang penilaian keadaan bangunan bersama dengan penyelidik-penyelidik di UTM .
“Saya amat gembira dengan kerjasama ini dan Andes akan menggunakan teknologi untuk menyokong fungsi dan operasi yang berlainan di syarikat kami,” katanya.

Explore More