Disember 27, 2024

Usaha Memupuk Minat Terhadap STEM Oleh Pasukan USR Razak: Adopt A Kampung

Bachok, 29 Julai 2018 – Program motivasi STEM anjuran pasukan USR Razak School: Adopt A Kampung telah berlangsung di Sek. Keb. Bukit Marak, Bachok, Kelantan. Ianya melibatkan 107 orang pelajar tahun 6, 5 orang mahasiswa UTM Kuala Lumpur dan 7 orang penyarah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak. Program setengah hari yang berjalan di sesi persekolahan ini diketuai oleh Dr. Mohamad Zaki Hassan dengan sokongan penasihat program Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai Mohamed.

Program ini bermatlamat untuk memastikan bahawa semua pelajar Sek. Keb. Bukit Marak yang terlibat dapat memahami konsep pendidikan STEM serta dapat mengemudikan hala tuju mereka selepas tamat tempoh persekolahan kelak. Matlamat ini bakal dicapai melalui objektif program iaitu meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar dalam pendidikan STEM, membuka minda ibu-bapa, guru dan pelajar mengenai kepentingan pendidikan STEM di negara-negara membangun khususnya Malaysia, meningkatkan bilangan pelajar yang mengambil mata pelajaran beraliran sains (Kimia, Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan) serta membantu meningkatkan prestasi akademik sekolah angkat terutamanya dalam mata pelajaran STEM.

Aktiviti yang dijalankan dalam program ini melibatkan sesi mentor mentee antara mahasiswa UTM KL dan pelajar Sek. Keb. Bukit Marak berdasarkan silibus dan tajuk di dalam buku teks tahun 6 dan 5. Setiap aktiviti yang dilakukan oleh mahasiswa UTM KL akan direkod dan dinilai oleh para pensyarah. Secara tidak langsung, Program motivasi STEM ini dapat meningkatkan “soft-skills” dalam kalangan mahasiswa-mahasiswa UTM KL. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pendedahan kepada Tenaga Boleh Diperbaharui. Menggunakan alat yang dipanggil Kit Turbin Pico Hidro UTM, pelajar dapat memahami dengan lebih dekat bagaimana tenaga elektrik dihasilkan. STEM dalam Tenaga Boleh Diperbaharui terdiri dari empat komponen penting iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Selain itu, antara aktiviti berteraskan STEM yang dijalankan adalah Pembinaan Struktur yang kuat dari Manila Card, Dropping Egg Challenge dan Mentos-Coke Test. Pasukan telah menerima penglibatan dan respon yang baik daripada para pelajar dalam kesemua aktiviti STEM ini.

Pasukan USR Razak Fakulti: Adopt a Kampung ini telah ditubuhkan awal Januari 2015. Program-program USR yang dijalankan oleh pasukan ini pada dasarnya adalah untuk menambahbaik infrastruktur sebuah sekolah yang telah terjejas teruk akibat bencana banjir besar yang melanda Kelantan pada akhir Disember 2014.

Di mana,kemusnahan dan trauma yang dihadapi amat dirasai oleh masyarakat di Kelantan termasuklah di daerah perkampungan Kuala Geris, Dabong. Tambahan pula, berikutan lokasinya di pendalaman menyebabkan segala bantuan kurang mendapat perhatian dari para sukarelawan ketika itu. Akhirnya, pasukan USR Razak Fakulti sepakat untuk membina sebuah perpustakaan bagi pelajar pra-sekolah bagi usaha mengembalikan semangat para pelajar ke sekolah dan juga meningkatkan minat mereka terhadap ilmu STEM yang dikenali sebagai Fun Learning Toy Library (FLTL).

Kejayaan program pembangunan FLTL bagi pelajar pra-sekolah ini telah menarik minat dari pelbagai pihak. Impak positif dari pembinaan FLTL ini antaranya, telah menarik perhatian dari badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk menyumbang dalam bentuk pelbagai sumber antaranya kewangan, perabot, bahan rujukan, alat permainan dan lain-lain lagi. Setelah tiga tahun semenjak pembinaan FLTL yang pertama, pasukan USR Razak School telah mendapat permohonan dari sekolah lain di Kelantan dan Johor untuk membina Model FLTL pra-sekolah ini bagi usaha meningkatkan prestasi pendidikan STEM pelajar khususnya pelajar pra-sekolah mereka. Sehingga kini sebanyak 2 buah FLTL telah dibangunkan di sekitar negeri Kelantan iaitu di Sek. Keb. Kuala Geris, Dabong dan Sek. Keb. Seneng, Bachok, manakala sebuah FLTL turut dibangunkan di Johor iaitu di Sek. Keb. LKTP Ayer Hitam, Kluang.

Projek pembinaan FLTL ini secara keseluruhannya adalah berjaya berikutan usaha ini telah meningkatkan minat para pelajar ke sekolah dan peningkatan prestasi di kalangan para pelajar serta juga memberi kelebihan kepada para guru dalam pembelajaran ilmu berteraskan STEM. Selain itu, projek ini telah mendapat respon baik dari para penyumbang dan juga Pejabat Pendidikan Daerah yang melihat projek ini adalah sangat berfaedah. Secara tidak langsung, kejayaan dan impak dari pembinaan FLTL ini telah tersebar ke sekolah-sekolah lain. Keadaan ini hanya disedari apabila pasukan USR Razak School: Adopt a Kampung telah menerima beberapa hasrat dari sekolah lain yang ingin turut mendapatkan bantuan daripada pasukan bagi membina model FLTL yang sama di sekolah mereka.

Kesimpulannya, Program motivasi STEM ini dijangka dapat membantu meningkatkan pencapaian kendiri pelajar-pelajar sekolah terhadap pendidikan STEM selain meningkatkan motivasi diri, strategi dan teknik dalam menjawab soalan UPSR, selaras dengan potensi diri yang ada pada pelajar-pelajar untuk menuju kecemerlangan. Adalah menjadi harapan UTM KL bahawa Program motivasi STEM ini mampu melahirkan para pelajar yang berkualiti yang seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara dan memenuhi objektif pendidikan STEM itu sendiri

Explore More