April 20, 2024

Search
Close this search box.

AHIBS ditubuhkan di kampus UTM Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 10 Ogos 2018 – Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim atau AHIBS telah secara rasminya dibuka di kampus Johor Bahru.
Pembukaan itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Am Bank Malaysia Berhad, Tan Sri Azman Hashim
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata AHIBS yang sebelum ini dikenali sebagai UTM International Business School (UTM IBS) komited kepada pembangunan pemimpin inovatif dan usahawan untuk pasaran global, yang menyumbang kepada kemajuan, kekayaan dan kesejahteraan masyarakat.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1997, AHIBS beraspirasikan menghasilkan para graduan yang dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan komprehensif yang seimbang dalam pengurusan.
“Program akademik yang dibentuk di AHIBS menekankan pada pembangunan komunikasi, membuat keputusan dan kualiti kepimpinan,” katanya di majlis perasmian tersebut.
AHIBS menawarkan program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dengan pengkhususan Strategik Pengurusan, Tekno-Keusahawanan, Pengurusan Kewangan Islam, Pengurusan Penjagaan Kesihatan serta Pengurusan Penerbangan.
Selain daripada program MBA, AHIBS juga menawarkan program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan PhD dalam bidang pengurusan perniagaan serta menawarkan kursus jangka pendek dan perkhidmatan perundingan.
Pada tahun 2016, YBhg. Tan Sri Azman Hashim menerusi Yayasan Azman Hashim, telah menyumbang sebanyak RM30 juta bagi merancakkan aktiviti kesarjanaan dan ilmuan dengan kewujudan Biasiswa Endowmen Azman Hashim.
Ekoran daripada ini, pada 16 Ogos 2017 UTM IBS telah dijenamakan semula dengan nama Azman Hashim International Business School. Hasil daripada pelaburan sumbangan endowmen ini disalurkan sebagai biasiswa kepada pelajar yang berjaya.
“Melalui pelaksanaan Sinergy UTM 4.0 pada bulan Julai 2018, Fakulti Pengurusan dan Jabatan Sistem Maklumat Fakulti Komputeran telah bergabung dengan AHIBS.
“Penggabungan ini telah menguatkan strategi AHIBS untuk berkembang dan menyebarluaskan penawaran program akademik di selatan tanahair, memberi perkhidmatan dan kepakaran melalui aktiviti perundingan dan penyelidikan meibatkan organisasi kerajaan serta industri di wilayah selatan termasuk negara jiran,” katanya.

AHIBS kini mempunyai kepelbagaian program akademik di peringkat pra siswazah dan pasca siswazah. Bakat dan kepakaran AHIBS kini bertambah dengan adanya pensyarah dari bidang pengurusan dan sistem maklumat yang kini menjadi aset utama bagi AHIBS.
Aset berharga inilah yang dilihat dapat membantu AHIBS untuk membentuk kurikulum program akademik bertaraf global dan sentiasa terkini bagi menepati kehendak Revolusi Industri 4.0.
Persetujuan telah dicapai di antara AHIBS dan Yayasan Azman Hashim untuk mewujudkan majlis penasihat AHIBS (AHIBS Advisory Council) bertujuan untuk memberikan fokus kepada pengwujudan platform interaksi di antara akademia dan industri.
Selain itu inisiatif bagi melonjakkan kecemerlangan penyelidikan turut akan diwujudkan melalui Azman Hashim IBS Global Business Excellence Research. Platform ini dijangka mampu membantu integrasi AHIBS dan industri agar sentiasa terkehadapan dalam menggapai objektif yang selari dengan Revolusi Industri 4.0.
AHIBS kini dalam rancangan untuk menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan dengan konsentrasi yang baru iaitu konsentrasi Business Analytics dan Pengurusan Bakat.
Program terkini yang ditawarkan oleh AHIBS di peringkat Ijazah Sarjana Muda adalah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi), Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.
Program Pasca-Siswazah yang ditawarkan pula adalah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Sarjana Pengurusan (Pengurusan Teknologi), Sarjana Teknologi Maklumat (Pengurusan Teknologi Maklumat), Doktor Falsafah, Doktor Falsafah (Pentadbiran Perniagaan), Doktor Falsafah (Pengurusan) dan Doktor Falsafah (Sistem Maklumat).

Explore More